Lima projek utama Kelantan sedang dijalankan

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

PUTRAJAYA - Lima projek utama di Kelantan yang diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada bulan lepas, kini sedang dijalankan, kata kementerian tersebut.

Projek-projek itu adalah Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, laluan baharu antara Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) menyatakan kajian terhadap pembangunan seterusnya LPT3 itu sedang dilaksanakan dan akan turut mengambil kira kajian ke atas lebuh raya bertol yang dijalankan oleh Kementerian Kerja Raya.

Bagi cadangan laluan Pasir Puteh-Machang-Jeli pula, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan kini dalam proses meneliti jajaran serta skop tugasan Fasa 1 projek itu.

Pada masa sama, JKR Kelantan akan turut berurusan dengan pihak Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan kerajaan negeri berhubung jambatan Palekbang-Kota Bharu itu.

Pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai pula dilakukan secara berfasa dengan pakej satu telah siap manakala dua pakej lain sedang dijalankan.

Menurut kementerian, dua pakej terbabit masih dalam proses pemerolehan manakala baki tiga pakej lainnya adalah di peringkat perancangan.

Selain itu, proses pemerolehan bagi pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra juga sedang dilaksanakan dan diterajui oleh Kementerian Pengangkutan dan dijangka siap pada suku keempat tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Kelantan merupakan salah satu negeri yang diberi keutamaan dalam usaha menggalakkan pertumbuhan saksama selain meningkatkan kesejahteraan rakyat," kata kementerian itu.

Azmin mengumumkan projek-projek yang diluluskan oleh kerajaan Persekutuan itu ketika melakukan lawatan kerja ke Kelantan pada 7 Mac lepas.

Susulan pengumuman itu, satu mesyuarat telah diadakan pada 14 Mac antara Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dengan kementerian dan agensi berkaitan lain bagi membincangkan pembangunan dan pelaksanaan projek-projek tersebut.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, keputusan melaksanakan projek-projek berkenaan juga adalah seiring dengan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas yang memerlukan usaha dipergiat bagi menangani ketidakseimbangan ekonomi dalam enam wilayah ekonomi terbabit. - Bernama