Tumpahan minyak di pesisir pantai Tanjung Balau

Tumpahan minyak yang belum dikenal pasti jenisnya itu juga telah sampai ke pesisir pantai kawasan berkenaan.
Tumpahan minyak yang belum dikenal pasti jenisnya itu juga telah sampai ke pesisir pantai kawasan berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tumpahan minyak sepanjang kira-kira satu kilometer dilaporkan berlaku di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Jabatan Laut Johor selepas menerima laporan kira-kira jam 3 petang tadi hasil rondaan bot penguat kuasa yang berada di kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Laut Johor, Dickson Dollah berkata, berdasarkan maklumat, tumpahan minyak yang belum dikenal pasti jenisnya itu juga telah sampai ke pesisir pantai kawasan berkenaan.

“Tumpahan ini adalah berupa minyak bewarna hitam disyaki MFO, buat masa ini kita juga telah memaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk membantu membuat penilaian mengenai perkara ini.

“Belum dapat disahkan mana-mana kapal yang didapati bertanggungjawab kerana dimaklumkan tiada kapal yang berada di kawasan berkenaan yang boleh dikaitkan dengan tumpahan minyak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, sebentar tadi.

Dickson berkata, pihaknya juga telah mengarahkan sepasukan petugas dari Jabatan Laut Wilayah Selatan untuk membuat kerja-kerja pembersihan seawal jam 6 pagi esok.

“Pasukan kawalan tumpahan minyak Jabatan Laut telah diarahkan bersedia dengan peralatan tambahan seperti ‘absorbent boom’ dan juga bekalan minyak petrol untuk ke Tanjung Pengelih malam ini.

“Kita juga dimaklumkan Pihak Berkuasa Tempatan Pengerang akan bersama-sama membantu dalam proses pembersihan di kawasan pantai,” katanya.

Artikel Berkaitan: