Dua beradik antara lima tokan dadah ditahan

Sebahagian dadah yang dirampas polis daripada lima suspek
Sebahagian dadah yang dirampas polis daripada lima suspek
A
A
A

BAGAN SERAI- Dua beradik termasuk seorang banduan yang baru dibebaskan antara lima tokan dadah ditahan dalam tiga serbuan berasingan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata pihaknya menahan adik-beradik berusia 40-an tersebut dalam serbuan pertama yang dijalankan pada jam 9.00 malam 11 April lalu.

"Serbuan tersebut dijalankan di sebuah rumah di Parit Haji Said, Kuala Kurau di mana mereka berdua sedang leka menghisap dadah tanpa menyedari kehadiran pihak polis.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, kita menemui 10 peket lut sinar dan satu straw berisi disyaki dadah jenis heroin seberat 16.7 gram bersama peralatan," katanya dalam sidang media di IPD Kerian, di sini, hari ini.

Katanya, susulan daripada penahanan dua beradik tersebut, pihaknya telah membuat serbuan kedua di sebuah rumah berhadapan rumah suspek sekitar jam 3.00 pagi 12 April lalu dan berjaya menahan dua lagi suspek berusia 30-an.

Omar Bakhtiar (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas
Omar Bakhtiar (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas

"Ketika ditahan kedua-dua suspek ini juga sedang leka menghisap dadah dan salah seorang daripada mereka baru sahaja dibebaskan dari penjara Taiping pada hujung tahun lalu.

"Pemeriksaan pihak polis kemudiannya menemui tiga peket lut sinar dan tujuh tiub yang mengandungi dadah seberat 151.16 gram bersama peralatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Omar Bakhtiar siasatan lanjut terhadap keempat-empat suspek yang ditahan membawa pihak polis kepada penahanan seorang lagi suspek yang juga merupakan pembekal dadah kepada mereka.

"Hasil maklumat anggota polis telah menyerbu sebuah kediaman di Sungai Baru Selinsing dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 40-an yang sedang leka menghisap dadah di bahagian atas rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan kita berjaya menemui enam plastik lut sinar berisi bahan dipercayai heroin seberat 201.04 gram dan dua peket lut sinar berisi bahan dipercayai methamphetamine seberat 4.07 gram di dalam kotak kasut bersama peralatan," katanya.

Omar Bakhtiar berkata nilai dadah yang dirampas dari suspek dianggarkan bernilai RM15,000 dan harganya mampu mencecah sehingga tiga kali ganda selepas ianya di proses dan dibungkus semula.

"Suspek yang ditahan ini merupakan pembekal utama kepada empat suspek yang ditahan sebelum ini dan dengan tertangkapnya kesemua suspek ini, pihak polis yakin dapat melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah di kawasan Selinsing dan Kuala Kurau.

"Hasil semakan kesemua suspek yang ditahan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.