Program Homestay Motac beri pengalaman kepada pelancong

Datuk Mohamaddin Ketapi - Foto Bernama
Datuk Mohamaddin Ketapi - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Program Pengalaman Homestay Malaysia di bawah seliaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi peluang kepada pelancong untuk berinteraksi serta melalui pengalaman gaya hidup seharian masyarakat kampung dan kebudayaan setempat.

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata bagi percutian konsep inap desa yang terlibat dengan kes-kes penipuan yang diiklankan di laman-laman sosial sebagaimana yang sering dilaporkan media, ia bukan Program Pengalaman Homestay Malaysia kementerian itu.

"Inap desa yang tulen tidak terlibat dalam sebarang penipuan seumpama ini kerana mereka adalah pengusaha inap desa yang menjalankan perniagaan secara jujur," katanya dalam satu kenyataan hari ini sebagai mengulas laporan akhbar mengenai sindiket yang mengiklankan inap desa milik orang lain di laman sosial untuk menjerat mangsa membuat bayaran deposit.

Menurut laporan itu sindiket yang menyamar sebagai ejen inap desa itu telah aktif sejak tiga tahun lepas dan dipercayai meraih hasil menjangkau sehingga RM3 juta menggunakan taktik berkenaan.

"Pelancong-pelancong yang ingin menginap di inap desa dinasihatkan berhubung terus melalui talian inap desa yang menjalankan perniagaan itu dan bukan sebaliknya. Jika terdapat keraguan dalam urus niaga sila laporkan terus kepada kami di MOTAC atau buat laporan terus kepada pihak polis,” katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: