Corat-coret PRK Rantau

A
A

DENGAN majoriti 4,510 undi, kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sememangnya sudah dijangka.

Tok Mat jauh meninggalkan pencabar terdekatnya Dr Streram daripada Pakatan Harapan (PH) yang hanya menerima 5,887 undi berbanding 10,397 undi yang diterima Tok Mat bagi mengekalkan kerusi DUN Rantau kepada Barisan Nasional (BN).

Keputusan Sabtu lalu juga menyaksikan BN menang 13 daripada 14 Pusat Daerah Mengundi (PDM) berbanding PH. PH hanya menang di PDM Bandar Ekar, kawasan pengundi Cina paling ramai dalam DUN Rantau (42 peratus pengundi Cina).

Itu pun peratusan undi PH di situ telah menurun sebanyak 10 peratus berbanding 70.3 peratus yang diterima PH ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Parlimen Rembau.

Untuk rekod, ketika PRU14 (walaupun Tok Mat diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi DUN Rantau ketika itu), PH memenangi tujuh daripada 14 PDM dalam DUN Rantau di peringkat Parlimen Rembau.

Kejayaan BN tidak terhenti di situ sahaja apabila BN turut kembali menerima sokongan orang India terutamanya di PDM Pekan Sagga (64 peratus pengundi India) dan Linsum (48 peratus) di samping mengekalkan penguasaan sedia ada di PDM bermajoriti Melayu seperti di Kampung Bemban (91 peratus pengundi Melayu), Kampung Sega (86 peratus) dan Kampung Sendayan (80 peratus).

Malah, BN turut menang besar mengatasi PH di saluran 4, 5 dan 6 (saluran pengundi muda) yang Tok Mat sifatkan sebagai ‘tsunami anak muda’ yang satu ketika dahulu ditakuti BN dalam mana-mana PRU atau PRK. Ketika PRU14, BN kalah hampir 90 peratus di saluran -saluran itu kepada PH.

Di permulaan, peluang untuk menang di Rantau diramalkan sebagai ’50-50’ antara BN dan PH. Faktor komposisi etnik yang seimbang menjadikan Rantau kawasan pilihan raya yang bercampur menjadi sebab utama mengapa ia dijangkakan sedemikian.

Berbanding PRK Cameron Highlands dan Semenyih sebelumnya yang mempunyai peratusan pengundi Melayu yang tinggi, Rantau pula sebaliknya.

Di sini, jumlah peratusan pengundi Melayu dan bukan Melayu sangat seimbang. Selalunya, kawasan campuran sering memihak kepada PH berbanding BN pula yang sinonim kebal di kawasan-kawasan majoriti orang Melayu.

Sekiranya diperhatikan, PRK Rantau telah memperlihatkan kepada semua bahawa mana-mana pilihan raya sememangnya memerlukan pendekatan yang berbeza.

Sesuatu parti politik yang mahu bertanding harus mencongak dengan teliti beberapa faktor seperti calon, jentera, isu dan naratif yang dibawa dan sudah tentu demografi pengundi yang bakal mereka hadapi.

Ketika PRK Rantau, faktor kawasan campuran, sokongan kuat pengundi bukan Melayu malah pengundi muda dan pagar tidak lagi memihak kepada PH seperti lazimnya.

Malah BN terutamanya UMNO, nampaknya berjaya membawa naratif yang berbeza walaupun kuat dikaitkan dengan isu perkauman yang sering menjauhkan undi orang bukan Melayu sebelum ini.

Walaupun mana-mana PRK juga tidak boleh dijadikan ukuran secara pukal dalam menganalisis trend sokongan dalam pilihan raya seperti mana pengalaman PRK lalu di Ijok (2007), Teluk Intan (2014) dan Sungai Besar (2016), namun dalam konteks politik semasa dan jangka pendek, ia selalunya menghantar isyarat tertentu kepada parti-parti yang bertanding.

Jadi barangkali dalam konteks ini, Rantau telah menghantar isyarat kekecewaan dan kemarahan rakyat dari setiap lapisan dengan prestasi kerajaan PH ketika ini dan berharap agar sesuatu akan segera dilakukan untuk membetulkan keadaan.

Mungkin tiga kekalahan berturut-turut ini sudah cukup untuk menyedarkan PH agar kembali berpijak di bumi yang nyata.

Sebagai parti yang kini menjadi kerajaan, PH seharusnya bertindak segera melunaskan kata dan janji terutamanya yang melibatkan isu-isu bread and butter rakyat.

Tamatkan segera perbuatan menyalahkan kerajaan terdahulu dalam setiap perkara yang menjadikan rakyat mual, muak dan kecewa. Sekiranya masih berterusan begini, janganlah terkejut pula kalau orang Sabah terutamanya di Sandakan juga mengikut jejak langkah orang Rantau pada 11 Mei depan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.