Jangan salah main peranan di Sidang DUN

Saarani pada sidang media hari ini.
A
A

IPOH - Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) hari ini mengingatkan Chong Zhemin (DAP-Keranji) agar tidak salah memainkan peranan sempena sidang DUN, kali ini.

Saarani berkata, hasrat Zhemin untuk membincangkan serta berdebat berhubung isu yang melibatkan Taman Tema Animasi Movie Animation Park Studios (MAPs) khususnya mengenai kerugian yang berlaku dilihat tidak sesuai untuk dibincangkan di Dewan Negeri.

Menurutnya, apa juga butiran perniagaan yang melibatkan MAPs perlu dibincangkan pada mesyuarat tahunan di peringkat Perak Corporation Berhad Development (PCBD).

“Bagi saya, ADUN Keranji salah main peranan. Sebenarnya apa sahaja yang dicakap mengenai butiran perniagaan, tak boleh didebatkan di dewan negeri, tetapi dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) PCBD.

“Sebab itu saya bangun sebut, jangan salah main peranan. Peranan kita wakil rakyat. Lagi pun, dia sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah tetapi macam mana ahli lembaga pengarah boleh bangkitkan benda tu di luar ahli lembaga pengarah?

“Saya ingatkan sahaja, tak boleh 'over' daripada peranan yang diberikan kerana ia akan menyebabkan harga saham PCBD di Bursa Malaysia jatuh.

"Kalau harga saham jatuh yang menderita adalah pemegang saham iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP),” katanya pada sidang media, sempena sidang DUN hari ini.

Sementara itu Saarani turut kesal apabila Zhemin sebelum ini berterusan menuduh Datuk Seri Zambry Abd Kadir khususnya terlibat dalam membuat keputusan bagi pihak PCBD.

Katanya, Zambry sememangnya tidak terlibat dengan perkara berkenaan melainkan hanya bagi pihak PKNP.

“Pemengang saham tidak buat keputusan dengan syarikat. Tetapi, ikut mana pun, dia nak tuduh Zambry.

"Saya pun tak faham kenapa mereka terlalu peribadi dengan Zambry. Dia bukan menteri besar lagi.

“Sepatutnya mereka memperbetulkan kesilapan yang dilakukannya (Zambry) bukan mengorek dengan tujuan untuk merosakkan namanya, memalukan dia, nak peras ugut dia.

"Sebagai ahli politik kita tak buat demikian,” katanya.