Gunting Rambut Percuma serentak di 19 lokasi KRT

Program Gunting Rambut Percuma edisi perintis tahun lalu dijalankan secara serentak di 12 KRT dan kali ini bakal diteruskan di 19 KRT seluruh Daerah Hulu Terengganu. (Gambar kecil: Asronizam Mamat )
A
A

KUALA BERANG - Pejabat Perpaduan Daerah Hulu Terengganu (PPDHT) sasar seramai 1,000 pelajar mendapat manfaat melalui penganjuran Program Gunting Rambut Percuma bakal diadakan 25 Disember depan.

Program anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Hulu Terengganu dengan kerjasama PPDHT itu akan berlangsung secara serentak di 19 KRT seluruh daerah ini.

Pegawai Perpaduan Daerah Hulu Terengganu, Asronizam Mamat berkata, program sempena pembukaan sesi persekolahan tahun 2019 itu bagi meringankan perbelanjaan ibu bapa terutamanya yang kurang berkemampuan.

“Program ini telah kita mulakan tahun lalu sebagai perintis di 12 KRT di daerah ini dan berjaya memberi manfaat kepada kira-kira 700 pelajar khususnya kanak-kanak sekolah rendah.

“Hasil daripada permintaan komuniti setempat, edisi penganjuran program gunting rambut secara percuma ini diteruskan pada tahun ini dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 orang.

“Selain membantu ringankan beban ibu bapa, penganjuran program sebegini juga bagi menyebarluaskan peranan KRT kepada komuniti. Program akan diadakan di KRT masing-masing.

“Antara KRT terlibat ialah di KRT Kuala Telemong, Kampung Bukit Acheh, Sungai Bajar, Tanjung Aur Felda Bukit Bading, Kua, Dusun serta Kampung Buluh Batu Bersurat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, penganjuran edisi tahun ini dijangka lebih meriah memandangkan jumlah KRT terlibat bertambah berbanding tahun lalu dan program dijadualkan bermula jam 8 pagi.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia