Sentiasa hebah, inisiatif kerajaan negeri

Hasnul Zulkarnain pada sesi soalan lisan hari ini.
Hasnul Zulkarnain pada sesi soalan lisan hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri sentiasa berusaha memberikan penerangan serta mewar-warkan segala inisiatif serta usaha kerajaan menerusi media cetak dan elektronik.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim (Amanah-Titi Serong) berkata, segala inisiatif serta usaha-usaha berkenaan telah pun diwar-warkan menerusi Buletin Rasmi dan Laporan Tahunan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak, Portal Rasmi Kerajaan Negeri Perak, Facebook rasmi Pejabat SUK Perak, Facebook rasmi Jabatan Penerangan Negeri Perak selain menerusi paparan di 250 TV DigitalPerak di pejabat-pejabat kerajaan seluruh negeri Perak.

Selain itu menurut Hasnul Zulkarnain perkara berkenaan turut diwar-warkan menerusi hebahan radio khususnya di Perak FM untuk slot Menteri Besar pada setiap Khamis mulai 8.30 pagi dan juga slot bersama jabatan serta agensi kerajaan pada setiap Selasa mulai 12.15 tengah hari.

"Kerajaan melalui pelbagai medium sama ada media cetak mahu pun elektronik seperti antara medium sering digunakan bagi tujuan berkenaan.

"Pejabat SUK Perak juga turut bekerjasama rapat dengan pihak media dalam setiap program anjuran kerajaan negeri bagi mendapatkan liputan yang tepat dan menyeluruh.

"Selain itu, Kerajaan Negeri Perak turut mempromosikan pelbagai inisiatif baru melalui Program Memacu Harapan dan Program Pegawai Daerah Bersama Komuniti bagi memastikan rakyat di peringkat akar umbi dapat memahami dan menikmati inisiatif yang disediakan oleh kerajaan negeri," katanya.

Hasnul Zulkarnain berkata demikian bagi menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Aulong) pada sesi soalan lisan hari ini.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain berkata, pihak kerajaan juga dalam proses untuk menyegerakan penubuhan Komuniti Harapan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penubuhan komuniti berkenaan diharap dapat berperanan sebagai agen penerangan khususnya kepada masyarakat akar umbi.

"Saya juga bercadang untuk menganjurkan program bertemu muka dengan NGO-NGO berdaftar dalam negeri Perak untuk sama-sama menyebarkan inisiatif-inisiatif dan insentif-insentif yang ditawarkan kerajaan negeri

"Kerajaan negeri juga mengalu-alukan rakyat untuk turut sama menyebarkan maklumat-maklumat ini," katanya.