Jenayah harta benda meningkat di Terengganu

Aidi (tengah) menjadi saksi penyerahan dokumen serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu baharu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos (kanan) daripada pemangku JSJ Terengganu, Superintendan Soffian Santong (kiri)
Aidi (tengah) menjadi saksi penyerahan dokumen serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu baharu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos (kanan) daripada pemangku JSJ Terengganu, Superintendan Soffian Santong (kiri)
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Kadar jenayah harta benda di negeri ini mencatat peningkatan kepada 60 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, jenayah yang menyumbang serius kepada peningkatan itu terdiri daripada kes curi motosikal dan pecah rumah.

Katanya, susulan peningkatan itu, polis mengadakan Ops Mega Bersepadu yang bergerak serentak di seluruh negeri dan memberi tumpuan membanteras semua kegiatan jenayah termasuk jenayah, narkotik, kesalahan trafik, komersial dan lain-lain.

"Dalam Ops Mega ini yang juga, kita akan menjejaki seramai mungkin individu dikehendaki atas pelbagai kesalahan jenayah.

"Ops Mega yang turut melibatkan kerjasama orang ramai dan pemimpin di peringkat komuniti termasuk Skim Rondaan Sukarela (SRS) di harap juga dapat menangani jenayah dalam kalangan remaja hari ini seperti merempit dan sebagainya.

"Selain polis, masyarakat juga perlu prihatin dengan memantau keselamatan kejiranan masing-masing untuk mengurangkan jenayah harta benda," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu di Dewan Redang, di Ibu Pejabat Polis Terengganu, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos menerima tugas selaku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu baharu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Razmi ketika ditemui berkata, misi beliau selaku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah baharu di negeri ini adalah akan memastikan setiap kes jenayah dapat diselesaikan sehingga ke peringkat sabit kesalahan.

"Bagi saya setiap kes jenayah perlu disiasat serta diselesaikan dengan berkualiti kerana tidak gunanya kes hanya dibawa ke peringkat pertuduhan sahaja di mahkamah tetapi gagal sehingga ke peringkat sabit kesalahan.

"Selain itu, misi saya akan cuba menangkap seramai mungkin individu dikehendaki selain mengenal pasti melibatkan jenayah kecil-kecilan di sini," katanya.