Malindo Air lancarkan penerbangan pertama ke Adelaide

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MALINDO Air melancarkan penerbangan pertamanya ke Adelaide melalui Denpasar (Bali) bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata Adelaide merupakan destinasi keempat dalam rangkaian penerbangan syarikat itu di Australia selepas Perth, Brisbane dan Melbourne.

“Ketika ini, kami melakukan penerbangan empat kali seminggu antara Kuala Lumpur dan Adelaide menerusi Denpasar. Banyak perancangan kami untuk ke Australia memandangkan kami ingin terus mencari peluang untuk beroperasi lebih kerap ke sana selain mewujudkan destinasi baharu.

“Langkah ini adalah sejajar dengan hasrat kami untuk meningkatkan trafik penumpang di lapangan terbang tertentu di samping mempromosi pelancongan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Airports Raja Azmi Raja Nazuddin berkata pihaknya mengalu-alukan perkhidmatan baharu Malindo Air itu yang akan memperkukuh kesalinghubungan antara Malaysia dan Australia.

“Tarikan pelancongan dan peluang menjalankan perniagaan di Malaysia dan Australia akan memastikan perkhidmatan baharu ini berjaya. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Malindo Air,” katanya.

Beliau berkata Malaysia Airports akan terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan pengendali lapangan terbang memaksimumkan keberkesanan iniasiatif pemasarannya untuk menarik syarikat penerbangan baharu dan mewujudkan laluan baharu.

“Malaysia Airports turut menggalakkan syarikat penerbangan sedia ada untuk meningkatkan kekerapan penerbangan selain memperkenal laluan baharu supaya pelanggan mendapat pilihan dan kesalinghubungan yang lebih baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Penerbangan antara Kuala Lumpur dan Adelaide menerusi Denpasar beroperasi pada Ahad, Selasa, Khamis dan Sabtu menggunakan pesawat jenis Boeing 737-800/900 yang menawarkan 12 kelas perniagaan dan 150/168 tempat duduk kelas ekonomi.

Tambang promosi sehala bagi kelas ekonomi berharga RM679, manakala RM2,399 bagi kelas perniagaan.

Tempahan penerbangan boleh dilakukan menerusi laman sesawang www.malindoair.com, kaunter tiket, pusat khidmat pelanggan dan agensi pelancongan terpilih. - Bernama