GLC masih relevan untuk Bumiputera: MPM

Hasan (kiri) ketika menjadi moderator Forum Khas 'GLC, GLIC, PEA: Apa Agenda Ekonomi Bumiputera Mereka?' di Wisma MPM, hari ini.
Hasan (kiri) ketika menjadi moderator Forum Khas 'GLC, GLIC, PEA: Apa Agenda Ekonomi Bumiputera Mereka?' di Wisma MPM, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Melayu (MPM) menggesa kerajaan untuk tidak menswastakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada masa akan datang kerana fungsinya dilihat masih relevan untuk membantu usahawan Bumiputera.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Hasan Mad berkata, biarpun ada pihak yang mengatakan GLC sudah tidak relevan dan mahu ia diswastakan, namun MPM masih percaya dengan fungsinya.

“Maknanya GLC dan agensi seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Majlis Amanah Raya (Mara) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), ini masih relevan untuk terlibat dalam bisnes.

“Jika tiada syarikat GLC ini termasuk anak syarikatnya yang terlibat dengan bisnes, tidak ramai orang Melayu akan berkecimpung dalam bisnes sehingga kini,” katanya kepada media ketika ditemui pada Forum Khas 'GLC, GLIC dan PEA: Apa Agenda Ekonomi Bumiputera Mereka?' Di Wisma MPM hari ini.

Pada forum tersebut menyaksikan dua tokoh panelis iaitu Ahli Lembaga Penasihat MPM, Dr Rais Saniman dan Pengarah Urusan Besta Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasmay Md Shah, yang membentangkan pengalaman mereka yang pernah terlibat dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini.

Dalam pada itu, Hasan berkata, kekecewaan mula timbul apabila GLC dilihat tidak menjalankan fungsinya seperti yang diharapkan usahawan Bumiputera kerana lebih kepada mengaut keuntungan sendiri.

“Peniaga Melayu ramai kecewa apabila timbul dakwaan dari pihak sebelah, bahawa GLC itu didakwa milik Bumiputera, sedangkan bagi Bumiputera pula, tiada bantuan dari GLC yang diterima mereka.

Artikel Berkaitan:

Antara ahli dan penonton yang hadir mengikuti forum tersebut.
Antara ahli dan penonton yang hadir mengikuti forum tersebut.

“Jika adapun hanya kecil-kecilan yang tidak setanding dengan syarikat besar lain,” katanya.

Justeru katanya, pihak MPM menggesa kerajaan untuk melihat kembali pengurusan dalam GLC termasuk individu yang menguruskannya agar dapat memberikan fokus dalam membantu membangunkan ekonomi Bumiputera.

“Sepatutnya GLC punyai pengurusan bisnes yang lebih fokus. Bukan menubuhkan lagi beratus anak syarikat untuk bersaing pula dengan Bumiputera. Ia tidak betul.

“Sepatutnya GLC menjadi kepala dengan mengumpulkan syarikat Bumiputera yang berlainan kepakaran untuk memacu ekonomi dan merebut peluang yang diperoleh GLC daripada kerajaan dalam sebarang projek.

“Apabila GLC jalan sendiri. Bagaimana nasib syarikat Bumiputera yang kurang kekuatan kolektif untuk bersaing dalam perniagaan. Akhirnya terus ketinggalan,” katanya.

Oleh kerana itu, katanya dalam konteks Agenda Ekonomi Bumiputera, GLC masih relevan, hanya perlukan sedikit perubahan terutama dari segi ‘roh Melayu’.

“Jika pandai tetapi tiada roh Melayu tiada guna. Apa yang penting perlu berani buat. Kita (Melayu) ramai tetapi tidak berani. Maknanya sesiapa sahaja kerajaan nak letak menerajui pimpinan dan GLC mesti ada roh Melayu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, MPM akan menyerahkan satu memorandum hasil forum tersebut kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.