Lynas langgar peraturan selama enam tahun

Chean Chung (dua dari kiri) menyerahkan ulasan membabitkan Laporan EIA berkenaan sisa buangan NUF bagi Projek Lynas kepada Rosli Zul (dua dari kanan) di Pejabat JAS Pahang, hari ini.
Chean Chung (dua dari kiri) menyerahkan ulasan membabitkan Laporan EIA berkenaan sisa buangan NUF bagi Projek Lynas kepada Rosli Zul (dua dari kanan) di Pejabat JAS Pahang, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kilang memproses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) dengan jelas melanggar peraturan ditetapkan kerajaan dalam tempoh jangka masa lama kerana menyimpan sisa-sisa buangan terjadual di kawasan kilang dalam kuantiti besar.

ADUN Semambu, Lee Chean Chung berkata, tindakan itu jelas memberi risiko bukan sahaja kepada masyarakat setempat namun memberi kesan kepada alam sekitar.

“Dalam tempoh enam tahun beroperasi sehingga Disember 2018, Lynas mengumpul sebanyak 1.13 juta tan sisa buangan ‘neutralization underflow residue’ (NUF) yang disimpan di tepi kilang.

“Sedangkan kalau ikut Peraturan 4: Pelupusan Buangan Terjadual dalam Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, kuantiti bahan buangan terjadual yang dikumpulkan di tapak mesti tidak melebihi 20 tan metrik selama 180 hari ataupun kurang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan ulasan berkenaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) berkenaan sisa buangan NUF bagi Projek Lynas kepada Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Rosli Zul di Pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan laporan EIA yang dikeluarkan, Lynas didakwa tidak memenuhi kriteria yang diperlukan dalam memastikan kesejahteraan, kesihatan dan alam sekitar dijaga memandangkan tapak pelupusan sisa NUF itu berada di kawasan industri mereka.

“Gebeng adalah sebuah kawasan tapak industri, bukannya tapak pelupusan bagi sisa buangan NUF. Maka, sisa NUF ini tidak sepatutnya berada di kawasan perindustrian Gebeng.

“Oleh itu, laporan EIA ini harus ditolak kerana ia dilihat tidak memenuhi kriteria yang diperlukan dan kita mengharapkan agar perubahan dapat dilakukan demi kesihatan masyarakat setempat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rosli berkata, pihaknya menerima sebarang maklum balas dan terbuka menerima pandangan daripada mana-mana pihak.

“Setakat ini pihak JAS Pahang menerima serahan maklum balas berkaitan Laporan EIA yang kebanyakannya terdiri daripada individu perseorangan dan ada juga yang menghantar terus ke ibu pejabat JAS di Putrajaya.

“Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk memberikan maklum balas bermula awal April sehingga 19 April ini walaupun laporan tidak mempunyai kaitan dengan JAS namun kita akan membawa perkara tersebut kepada agensi yang berkaitan,” katanya.