Mayat penuntut UiTM dikhuatiri lemas ditemui

Ahli keluarga kelihatan hiba selepas dimaklumkan penemuan jasad mangsa.
Ahli keluarga kelihatan hiba selepas dimaklumkan penemuan jasad mangsa.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Operasi mencari dan menyelamat seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang dikhuatiri lemas selepas dibawa arus ketika mandi di Pantai Cherating berakhir apabila mayatnya ditemukan di Pantai Baging, Sungai Ular, awal pagi tadi.

Mayat mangsa, Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18, ditemukan kira-kira 8.6 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan lemas.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati ibu bapa mangsa kelihatan hiba dan mereka memaklumkan jenazah dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat.

Turut kelihatan di lokasi kejadian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Andansura Rabu yang hadir bagi menenangkan ahli keluarga mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan penemuan mayat mangsa oleh orang awam yang sedang beriadah di pesisiran pantai Cherating.

"Mangsa dilaporkan hilang pada semalam telah ditemui di belakang pusat MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia), Cherating.

“Ahli keluarga mangsa telah membuat pengecaman awal dan mengesahkan identiti mangsa,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, pemeriksaan awal ke atas badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan dan perkara mencurigakan berunsurkan jenayah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang penuntut UiTM Dungun dikhuatiri lemas selepas dibawa arus ketika mandi di Pantai Cherating di sini pada Sabtu.

Mangsa dikatakan datang bersama 19 rakannya ke pantai itu kira-kira jam 1.30 petang untuk berehat dan berkelah.

Bagaimanapun ketika mereka mandi sambil bermain di dalam air, ombak tinggi tiba-tiba datang merempuh kumpulan pelajar itu.

Mangsa dipercayai terpecah daripada kumpulan rakannya apabila dibawa arus ke tengah sebelum hilang manakala yang lain berjaya menyelamatkan diri.