'Perlu ada stesen ECRL di Pelangai'

Young Syefura
Young Syefura
A
A
A

KUANTAN - ADUN Ketari berharap agar kerajaan dapat membina sebuah stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pelangai setelah berlakunya penjajaran semula menyebabkan tiada laluan dan stesen ECRL akan dibina di daerah Bentong.

Young Syefura Othman berkata, masyarakat di DUN Pelangai amat memerlukan infrastruktur pengangkutan yang sangat mendesak di samping pembangunan dapat berkembang di kawasan tersebut.

"Semua sedia maklum bahawa jalan perhubungan ke Pelangai yang seperti ular menyukarkan perhubungan penduduk yang jauh untuk ke bandar dan menyekat potensi kegiatan ekonomi di kawasan mereka.

"Tentunya kos pembinaan stesen di Pelangai yang merupakan dalam laluan ECRL antara Jelebu dan Mentakab adalah lebih kecil dan sangat wajar untuk dibina di Pelangai," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Young Syefura berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan membatalkan laluan ECRL di Bentong yang dapat mengekalkan keunikan eko pelancongan di daerah tersebut di samping dapat mengelakkan bencana alam daripada berlaku.

Namun, menurutnya, kerajaan harus memberi perhatian wajar kepada pembangunan Bentong yang merupakan pintu gerbang ke Pantai Timur di samping berdekatan dengan Kuala Lumpur.

"Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana berjaya melakukan penjimatan kos projek sebanyak RM21.5 billion dan penjimatan kos faedah sebanyak RM12.4 billion.

"Namun penjimatan kos dan penjajaran semula laluan ECRL yang menyebabkan tiada lagi laluan dan stesen ECRL di Bentong menimbulkan kekecewaan masyarakat Bentong yang mendambakan pembangunan dan kemajuan ekonomi di kawasan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Saya mendesak bahawa penjimatan berpuluh billion daripada penjajaran semula laluan ECRL daripada Bentong dapat digunakan untuk projek-projek pembangunan infrastruktur lain di daerah ini," katanya.

Sementara itu, beliau mencadangkan agar kerajaan dapat menghapuskan tol Lebuhraya Karak yang merupakan salah satu janji utama PH ketika PRU14.

Menurutnya, langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban kos pengangkutan malah dapat menggalakkan kegiatan ekonomi yang berasaskan perlancongan dan pertanian di Bentong.

"Dengan penjimatan kos projek ECRL, kerajaan juga boleh melakukan penambahbaikan laluan jalanraya Lebu-Mempaga-Sertik yang keadaan jalan di situ terlalu teruk mengakibatkan banyak kehilangan nyawa telah berlaku.

"Kita juga mengharapkan agar kerajaan menyegerakan projek laluan ‘bypass’ Central Spine Road (CSR) di kawasan Bentong yang telah dimulakan bertahun lalu masih belum siap dan mengalami kelewatan.

"Projek ini sangat penting bagi warga Bentong kerana ia dapat mengurangkan kesibukan trafik di dalam kawasan Bentong terutamanya pada waktu hujung minggu dan musim cuti perayaan," katanya.