Ahli Dewan Negara nyaris diperdaya scammer

Chong Swen (tiga, kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya berhubung kejadian panggilan telefon oleh sindiket penipuan yang cuba memperdayakannya.
Chong Swen (tiga, kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya berhubung kejadian panggilan telefon oleh sindiket penipuan yang cuba memperdayakannya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang Ahli Dewan Negara nyaris diperdaya sindiket ‘scammer' yang menyamar sebagai kakitangan Telekom Malaysia (TM).

Modus operandi sindiket itu sengaja menggertak mangsa dengan mendakwa nombor telefon yang didaftarkan di Seremban, Negeri Sembilan telah disalah guna dalam kegiatan perjudian online.

Taktik penipuan itu bermula apabila mangsa iaitu Setiausaha Agung Wanita MCA, Senator Datuk Ong Chong Swen menerima panggilan yang tertera nombor asing, kira-kira jam 10 pagi, 4 Februari lalu.

Menurutnya, kakitangan terbabit yang memperkenalkan diri sebagai Cik Azarina Radzi kemudian telah menyambungkan talian dan memintanya untuk menekan nombor '999' kononnya untuk melaporkan perkara itu kepada Balai Polis Seremban.

"Saya telah bercakap dengan 'Sarjan Mohd Azahari Narita' yang kemudiannya mengatakan saya terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan dadah.

"Talian itu seterusnya telah disambungkan kepada 'Sarjan Mejar Mok Chung Wen' yang mengesahkan saya terlibat dalam kes berkenaan dan menegaskan kes terbabit perlu diselesaikan segera," katanya kepada pemberita di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, 'Sarjan' terbabit kemudian menyerahkan kes tersebut kepada seorang pegawai wanita iaitu Inspektor Nurmila.

Katanya, 'Inspektor Nurmila' telah memberitahu akan membantunya dengan dua cara iaitu mengeluarkan waran siasatan serta meminta mahkamah siasat keadaan kewangannya.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah diminta untuk mengeluarkan wang yang ada di bank untuk dimasukkan ke dalam satu akaun yang ditetapkan. Panggilan telah berlangsung selama tiga jam dan saya diminta untuk tidak mematikan telefon bimbit.

"Apabila saya menyedari ini adalah panggilan scammer, saya telah mematikan telefon bimbit sebelum membuat laporan polis di Balai USJ 8, Subang Jaya pada hari kejadian," katanya.