Penerbangan sewa khas Guangzhou - Tawau bermula hari ini

Christina Liew
Christina Liew
A
A
A

KOTA KINABALU - Pelaksanaan penerbangan sewa khas dari Guangzhou China ke Tawau bermula Julai ini menjadi permulaan penting kepada usaha meningkatkan jumlah pelancong dan promosi tarikan pelancongan di kawasan timur negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew berkata, penerbangan sewa khas dua kali seminggu itu hasil inisiatif sebuah syarikat pelancongan dari Guangzhou.

Katanya, tempoh pelaksanaan penerbangan sewa khas itu selama setahun iaitu bermula Julai ini hingga Julai 2020 yang menggunakan pesawat B737-800, syarikat penerbangan Hainan Airlines.

Menurutnya pesawat itu dengan 162 tempat duduk dan jika dipenuhi penumpang pada setiap penerbangan akan menyaksikan setiap minggu terdapat 324 pelancong dari China berkunjung ke Tawau.

"Di pihak kita, urusan seterusnya adalah membuat persediaan yang sesuai yang diminta oleh agensi pelancongan berkenaan terutama kemudahan di Lapangan Terbang Tawau," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, pihak Lembaga Pelancongan Sabah juga akan menyediakan pakej pelancongan yang sesuai ditawarkan yang terdapat di daerah Tawau yang turut meliputi kawasan Semporna dan Lahad Datu. Christina yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata selepas ini, promosi pelancongan akan dilaksanakan secara agresif untuk daerah Sandakan.

Menurutnya ini sejajar dengan komitmen kementeriannya untuk meningkatkan jumlah pelancong berkunjung ke daerah di kawasan timur negeri ini khususnya Tawau serta Sandakan dan tidak tertumpu di Kota Kinabalu sahaja.

Beliau berkata ini juga bagi memastikan sasaran jumlah 4 juta pelancong ke Sabah dicapai pada tahun ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: