Pelan pemulihan Felda perlu sokongan padu peneroka

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) digesa untuk bersama-sama menjayakan misi mengembalikan kegemilangan agensi itu dengan melaksanakan program mengikut fungsi asalnya seperti ketika ditubuhkan dahulu.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin berkata, kerajaan telah merangka pelan pemulihan untuk mencapai matlamat itu dengan memperuntukkan sejumlah RM6.23 bilion untuk menjamin kebajikan peneroka dan menjadikan Felda sebagai sebuah institusi yang hebat.

“Antara isu utama, model yang ada sekarang ini iaitu apabila ladang itu diusahakan dalam skala yang kecil, tidak ada satu skala ekonomi untuk membolehkan semua peneroka mendapat manfaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kertas Putih Felda: RM2.7 bilion diguna raih sokongan PRU

Kertas Putih Felda: Azmin cabar Najib berbahas di Parlimen

"Jadi kita perlu tukar model perniagaan kita dengan melaksanakan kegiatan ekonomi berskala besar melalui kos yang lebih rendah tetapi dengan pulangan yang lebih tinggi,” katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Radzi berkata, ia bukanlah satu usaha yang mudah kerana ketika kerajaan PH mengambil alih pentadbiran negara selepas PRU14, Felda berada dalam keadaan yang amat kritikal.

Menurutnya, Felda mempunyai simpanan tunai sebanyak RM35 juta sahaja daripada berbilion ringgit yang pernah dimilikinya dan jumlah itu belum termasuk liabiliti iaitu hutang-hutang yang perlu dibayar.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dari tempoh Mei 2018 sehingga setakat ini, kerajaan telah menyediakan peruntukan khas kepada Felda sebanyak RM577 juta, namun, liabiliti yang perlu ditanggung dan bayaran yang perlu dibuat oleh Felda adalah tinggi.

Sementara itu, mengenai peranan generasi baharu Felda, Radzi berkata, mereka perlu memainkan peranan penting dalam memartabatkan agensi itu dan menjadikan kawasan Felda sebagai satu pusat ekonomi.

Justeru, katanya, kerajaan memutuskan untuk menyiapkan projek rumah bagi generasi baharu yang terbengkalai sejak 2016 dengan memperuntukkan sebanyak RM250 juta bagi menyelesaikan 30 peratus lagi pembinaannya.

“Felda akan buat dalam masa yang terdekat, Felda akan siapkan sasarannya dalam tahun ini supaya kira-kira 5,000 generasi baharu mendapat manfaat hasil dan dapat masuk ke unit rumah secepat mungkin,” katanya.

Pada 10 April lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan Kertas Putih “Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)” di Dewan Rakyat yang menjelaskan mengenai isu dihadapi Felda serta pelan pemulihan bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan memastikan peneroka terus dibela oleh kerajaan. - Bernama