Sidang DUN: MEA lulus projek pembangunan Teluk Muroh

Ahmad Faizal menjawab soalan lisan hari ini.
A
A

IPOH - Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) telah meluluskan projek pembangunan semula Kampung Nelayan Teluk Muroh.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Chenderian) berkata, projek berkenaan yang melibatkan kerja penambakan persisir pantai dan pembangunan unit rumah kos sederhana itu dibahagikan kepada dua fasa pembangunannya.

“Kedua-dua fasa berkenaan melibatkan kerja-kerja penambakan persisir pantai yang seluas 17.8 hektar.

“Selain itu bagi fasa kedua, pembangunan 145 unit rumah kos sederhana di kawasan tambakan seluas 17.6 hektar dengan kemudahan-kemudahan infrastruktur,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN-Pangkor) pada sesi soalan lisan, hari ini.

Sementara itu Ahmad Faizal berkata, projek pembinaan bagi fasa 1 yang melibatkan kerja-kerja penambakan pesisir pantai dijangka siap pada akhir Disember 2019.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada pindaan dibuat ke atas skop projek seperti yang telah diluluskan pihak oleh MEA.

“Projek pembinaan fasa 1 iaitu kerja-kerja penambakan pesisir pantai dijangka siap akhir Disember tahun ini manakala projek fasa 2 (pembinaan 145 unit rumah nelayan) dijangka akan dimulakan pada 2020, setelah kerajaan negeri memutuskan konsep perumahan dan komponen-komponen pembangunan yang berkaitan,” katanya.