'Boleh bantah lantikan jawatankuasa kariah masjid'

272854
272854
A
A
A

IPOH - Ahli kariah yang tidak bersetuju dengan pelantikan jawatankuasa kariah hendaklah mengemukakan bantahan berkenaan kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) melalui Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk).

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Asmuni Awi berkata, mengikut Peraturan-Peraturan Jawatankuasa Kariah 2015 di dalam Peraturan 7(1), seseorang itu layak dicalonkan sebagai anggota Jawatankuasa Kariah.

“Antara kriteria calon adalah beragama Islam, warganegara Malaysia, tidak menganggotai mana-mana Jawatankuasa Kariah lain, berusia tidak kurang 18 tahun, ahli kariah masjid itu, mempunyai pengetahuan agama Islam dan berpegang dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, berakhlak mulia dan amanah, lazim solat berjemaah di masjid, sihat tubuh badan dan mental, bukan seorang bankrap yang belum dilepaskan dan tidak pernah disabitkan atas apa-apa kesalahan jenayah oleh mana-mana mahkamah.

“Bagaimanapun terdapat hal keadaan khas yang berhubungan dengan seseorang yang tertentu dan ia tidak berlawanan dengan kepentingan awam, pengecualian boleh diberikan,” katanya.

Asmuni berkata demikian bagi menjawab soalan lisan daripada Khairudin Abu Hanipah (BN-Belanja), hari ini.

Dimaklumkan bahawa senarai pelantikan Jawatankuasa Kariah Masjid bagi 1 Februari 2019 hingga 31 Januari 2021 telah dikeluarkan oleh Maipk.

Sementara itu Asmuni berkata, pelantikan berkenaan akan dibuat melalui beberapa tapisan sebelum dibawa ke Maipk untuk keputusan muktamad.

“Prosedur bantahan bagi ahli kariah yang tidak bersetuju dengan pelantikan jawatankuasa kariah hendaklah dikemukakan kepada Yang Di-pertua Majlis Agama Islam Perak melalui Pengarah Jabatan Agama Islam Perak,” katanya.

Artikel Berkaitan: