82 PATI ditangkap ketika pulang beraya guna laluan tikus

Sebahagian daripada PATI yang ditahan polis menerusi Op Landai Khas di sekitar Tanjung Rhu hingga Felda Tenggaroh, Mersing, kelmarin.
Sebahagian daripada PATI yang ditahan polis menerusi Op Landai Khas di sekitar Tanjung Rhu hingga Felda Tenggaroh, Mersing, kelmarin.
A
A
A

MERSING - Hasrat 82 warganegara Indonesia yang mahu pulang menyambut Aidilfitri di negara mereka terkubur selepas kesemua mereka ditahan ketika cuba menyusup keluar daripada negara ini kira-kira jam 6 petang, kelmarin.

Komander Polis Marin Wilayah 2 (PPMW2), Asisten Komisioner Paul Khiu Khoon Chiang berkata, kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu berjaya dikesan menerusi Op Landai Khas yang dilakukan di sekitar Tanjung Rhu hingga Felda Tenggaroh, di sini.

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada 57 lelaki, 24 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan satu hingga 57 tahun itu cuba menyusup keluar dari negara melalui laluan yang tidak diwartakan.

"Siasatan awal mendapati kesemua mereka menggunakan pengangkutan darat terlebih dahulu sebelum dibawa ke pesisir pantai untuk menaiki bot pancung," katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Menurutnya, dalam operasi itu, polis turut menahan dua lelaki berusia 51 dan 26 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ejen pengangkutan serta tekong untuk membawa keluar kesemua PATI tersebut.

“Sindiket ini mula aktif ketika menjelang Aidilfitri yang akan disambut pada Jun ini. Namun, PPMW2 mengambil langkah proaktif dengan melancarkan operasi khas bagi menangani masalah ini.

“Turut dirampas adalah tiga kenderaan iaitu kereta jenis Proton Waja dan Wira serta Perodua Alza yang dipercayai digunakan sindiket sebagai pengangkutan untuk membawa PATI," katanya.

Paul berkata, kesemua tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing untuk tindakan lanjut pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing.

Artikel Berkaitan:

“Dua tekong ditahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, manakala 82 PATI ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002),” katanya.