Lebih 60 buah motosikal musnah terbakar

Bomba siasat sekiranya ada unsur khianat

Antara motosikal yang musnah akibat kejadian kebakaran pagi tadi.
Antara motosikal yang musnah akibat kejadian kebakaran pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Lebih 60 buah motosikal musnah dalam kejadian kebakaran di tempat letak motosikal Pangsapuri Alor Vista, Relau di sini awal pagi tadi.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 2.40 pagi itu turut mengakibatkan empat buah kereta yang di parkir berhampiran musnah terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Penolong Penguasa Bomba Muzamer Mohd Salleh berkata, pihaknya yang menerima laporan kejadian itu melalui talian kecemasan 999 pada jam 2.52 pagi bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja pemadaman api.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian mendapati api sedang marak namun dengan tindakan pantas yang dilakukan pihaknya bersama pasukan bomba sukarela berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak.

Bomba membuka kaunter Sehenti Pasca Insiden di lokasi kejadian bagi memudahkan mangsa membuat laporan.
Bomba membuka kaunter Sehenti Pasca Insiden di lokasi kejadian bagi memudahkan mangsa membuat laporan.

"Pemeriksaan mendapati 40 buah motosikal musnah sepenuhnya manakala lebih 20 buah motosikal lagi musnah 50 peratus.

"Tindakan pantas yang dilakukan oleh bomba berjaya menyelamatkan ratusan buah lagi motosikal yang diletakkan di kawasan ini dan tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Muzamer berkata, setakat ini pasukan forensik kebakaran masih lagi menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengesan sekiranya terdapat unsur khianat sehingga menyebabkan kebakaran berlaku.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kebakaran berkenaan berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 4 pagi dan pihaknya telah membuka Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) bagi memudahkan pemilik motosikal yang terlibat membuat laporan.