Bukan kilang terbakar tapi blok relau pembakaran arang batu

Antara gambar 'kebakaran' kilang Allience Steel yang tular di Faceebook malam tadi.
A
A

KUANTAN - Bomba Pahang mengesahkan video kebakaran yang tular sejak semalam tidak membabitkan kilang Allience Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) di Taman Perindustrian Malaysia China Kuantan (MCKIP) Gebeng di sini.

Pengarahnya, Nor Hisham Mohammad berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati, insiden tersebut adalah pembakaran lebihan gas yang terhasil daripada proses pembakaran arang batu di kilang itu.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng bersama empat pegawai penyiasat kebakaran ke lokasi jam 11.45 malam dan mendapati kejadian itu berlaku di blok relau pembakaran arang batu (Coal Coking Plant).

“Ia tidak melibatkan kebakaran kilang seperti yang didakwa melalui penularan gambar dan video ‘kebakaran’ tersebut. Kejadian jam 9.40 malam itu berlaku selepas gangguan bekalan elektrik di dalam kawasan kilang tetapi bukan berpunca daripada pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

Menurutnya, ekoran gangguan bekalan kuasa elektrik, kipas penyedut (extraction fan) di blok relau pembakaran arang batu terhenti.

“Apabila ini berlaku, sistem keselamatan relau berfungsi secara automatik dengan melepaskan lebihan gas yang dihasilkan melalui cerobong pelepasan haba (heat release chimney) untuk mengelakkan lebihan tekanan dalam relau.

“Gas-gas ini terbakar ketika dilepaskan berikutan suhu yang tinggi dalam relau dan juga bagi mengelakkan pencemaran udara,”katanya.

Nor Hisham berkata, kesemua lapan cerobong pelepasan haba berfungsi sebagaimana direkabentuk dan membakar gas-gas yang terhasil.

“Jadi imej kebakaran yang tular semalam adalah imej pembakaran gas-gas yang dilepaskan tersebut. Kita sudah menyiasat kejadian di lapangan dan juga memanggil pihak syarikat untuk memberi penjelasan lanjut,” katanya.

"TNB juga sudah dihubungi dan mengesahkan tidak berlaku gangguan bekalan elektrik daripada pencawang sebaliknya ia gangguan sistem bekalan kuasa dalaman,”katanya.

Menurutnya. syarikat tersebut juga sedang menjalankan siasatan dalaman untuk menentukan punca sebenar masalah gangguan bekalan yang berlaku itu.