Dadah bernilai RM20.61 juta dilupuskan di Johor

Lukas (dua dari kanan) menunjukkan salah satu bungkusan barangan kes yang mahu dilupuskan pada sidang media IPK Johor, hari ini.
Lukas (dua dari kanan) menunjukkan salah satu bungkusan barangan kes yang mahu dilupuskan pada sidang media IPK Johor, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, hari ini melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM20.61 juta membabitkan kira-kira 3,800 kes sepanjang tempoh 2006 hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Lukas Aket berkata, bahan terlarang melibatkan 159.07 kilogram dadah itu dihapuskan selepas selesai proses analisis kimia dan perundangan mahkamah.

"Barang kes yang dilupus turut melibatkan 42.30 liter ubat batuk dan cecair dadah dan akan dihantar ke tapak pelupusan sisa toksik Pusat Kualiti Alam di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

"Daripada jumlah itu, dadah yang paling banyak dilupuskan adalah ketamin seberat 116.71kg, kanabis (30.95kg), mitragynine (34.76 liter) dan codien (7.60 liter)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelupusan barang-barang kes narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurutnya, perolehan rampasan dadah itu juga membawa kepada tangkapan seramai 6,663 suspek melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah di seluruh negeri.

"Ssekiranya tidak dirampas, dadah-dadah berkenaan dipercayai mampu menampung bekalan buat kira-kira 100,000 penagih di negeri ini," katanya.

Lukas berkata, polis menerusi JSJN sentiasa komited dalam melaksanakan operasi pembanterasan sindiket jenayah terancang terutama berkenaan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Tugas ini juga tidak akan terhenti sehingga suspek dituduh dan dihukum di mahkamah sahaja, polis juga perlu memastikan semua dadah yang dirampas berjaya dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan," katanya.