Demi masa, manusia dalam kerugian

Peringatan surah al-Asr tentang masa

A
A
A

Al-QURAN adalah manual dan panduan yang lengkap untuk membimbing manusia ke arah kehidupan yang selamat di dunia dan akhirat. Sebagai mukmin, kita berkewajipan untuk membaca, memahami dan menelaah kandungannya untuk mengetahui perbendaharaan ilmu dan kunci rahsia yang telah diwahyukan oleh Yang Maha Esa kepada kita melalui junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.

Setiap surah dalam al-Quran mempunyai hikmah dan fadilat masing-masing. Kali ini kita menyelusuri rahsia Surah al-Asr. ALLAH SWT berfirman:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah al-Asr 103:1-3).

Surah al-Asr adalah antara surah yang terpendek di dalam al-Quran. Surah ini mengandungi tiga ayat yang membentangkan kepada kita tentang cara-cara untuk berjaya dalam kehidupan dan selamat di dunia dan akhirat. Imam al-Shafie berkata tentang surah ini, “Seandainya manusia merenungi surah ini, nescaya surah ini telah mencukupkan mereka.”

Iktibar dari Surah al- Asr

Mari kita sama-sama cuba merenungi dan menghayati surah tersebut.

1. Masa kita terhad dan sudah ditetapkanBahawa ALLAH memberi satu masa yang tetap kepada kita. Daripada mula kita dilahirkan sehingga saat kita menghembus nafas terakhir, kita tidak mampu atau berupaya untuk mengubah masa tersebut walau sesaat pun, sama ada untuk mempercepatkan atau melambatkannya.

Malah tidak ada kuasa di dunia yang boleh mengubah ketetapan itu. Sampai saat dan ketikanya untuk berlaku sesuatu ke atas diri kita mengikut ketetapan-NYA, kita terpaksa akur dan redha dengan ketentuan Ilahi.

Artikel Berkaitan:

2. Kita tidak tahu bila kita akan matiKita tidak tahu saat dan ketika mana kita akan berdepan dengan sakaratul maut dan di mana kita akan berada ketika itu. Semua itu adalah rahsia Pencipta kita, yang sudah siap tertulis dalam buku Loh Mahfuz.

Apa yang mampu kita buat dan lakukan ialah dua perkara. Pertama, sehingga tiba dan sampainya saat dan detik itu, kita wajar berdoa kepada-NYA untuk melindungi diri kita dengan diberi taufik dan hidayah. Kedua, semasa umur kita masih ada dan hayat masih dikandung badan, kita isikan masa dengan amal ibadah dan amal jariah agar bila kita kembali kepada-NYA nanti, kita membawa bekalan yang cukup atau sebaik mungkin.

Itulah antara intipati dan pengajaran yang terkandung dalam surah al-Asr.

3. Perlukah kita berserah saja kepada takdir Ilahi?Jika umur dan hayat hidup serta rezeki kita sudah ditetapkan oleh Tuhan, maka apakah kita perlu menyerah sahaja kepada takdir Ilahi atau berasa kecewa dan hampa dengan ketetapan qadak dan qadar untuk kita?

ALLAH SWT memberi keyakinan kepada kita bahawa bagi insan-insan yang bertauhid, beriman dan bertawaqal kepada-NYA, yang beramal soleh dan yang berpesan-pesan ke arah kebaikan dan kesabaran, mereka tidak perlu bimbang walau sekelumit pun kerana mereka berada di bawah naungan serta perlindungan-NYA.

Di sinilah tersurat dan tersiratnya kunci rahsia Surah al- Asr.

Apakah yang dimaksukan dengan amal ibadah dan amal jariah itu?

Amal ibadah dan amal jariah itu adalah semua yang maaruf dan yang baik yang mampu kita lakukan. Yang diperkenan serta diredai-NYA. Daripada senyuman kita kepada orang lain, beratur mengikut giliran, tutur kata dan tindak-tanduk kita, sifat hemah dan ihsan kita terhadap orang lain, cara kita menghormati hak orang lain, membantu fakir miskin atau menolong orang dalam kesusahan dan sebagainya.

4. Sentiasa memperbaiki diri

Masa dan peredarannya yang disebut dalam Surah al- Asr juga bertujuan untuk memperingati kita bahawa kita perlu berhijrah daripada masa ke masa, daripada satu tahap kepada satu tahap yang lebih baik lagi.

Daripada tahap di mana kita terpaut dengan kemahuan kita (basic needs) kepada tahap keperluan yang lebih tinggi (higher heirachy of needs) dan seterusnya kepada tahap kita lebih peka kepada persiapan kita untuk akhirat daripada kecintaan kepada duniawi.

Para ilmuwan agama ada menyebut bahawa dalam kehidupan manusia, ada dua saat dan ketika yang dikira amat penting. Pertama saat dia dilahirkan dan kedua, saat dia mula memahami mengapa dia dilahirkan dan berada di dunia yang fana ini.

Apabila dia sampai ke peringkat kedua itu, dia mula melihat dan mempersoal tingkah lakunya dan menyedari bahawa hidup ini adalah sementara. Dunia ini hanyalah satu medan ujian untuk mengukur kemantapan keimanan dan ketakwaannya untuk merentasi alam barzakh dan seterusnya.

Sampai saat dan ketika bilamana dunia sudah suruh kita pergi dan kubur sudah memanggil, kita akan sedar dan insaf bahawa rumah besar kita, kereta mewah kita, harta dan kuasa yang kita miliki sudah tidak membawa apa-apa erti lagi kepada kita.

Pada saat dan ketika itu, kita akan teringat kepada firman ALLAH SWT bahawa: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan pada hari kiamat saja akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanya kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah Ali Imran 3:185).

Dan kita akan ingat kepada ajaran tok guru dan para ustaz bahawa janji Tuhan itu benar, mati itu benar, seksa kubur itu benar, syurga dan neraka itu benar. Kita akan tersentak dengan kesedaran bahawa semua apa yang kita miliki di dunia ini tidak akan mengikuti atau bersama kita di kubur nanti.

Kita berhak kepada bahagian kita di dunia

Bila kita bercakap tentang persiapan kita untuk akhirat, tidak bererti kita dilarang untuk menikmati hak dan bahagian kita di dunia ini.

ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba ALLAH) sebagaimana ALLAH berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-NYA yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah Al-Qasas 28:77)

Perbanyakkan amal ibadah dan amal jariah

Kerana masa dan tempoh kita hidup di dunia yang fana ini bersifat sementara, maka kita perlu mengguna setiap ruang dan mengambil setiap peluang untuk beribadah kepada-NYA, beramal soleh dan berbuat baik kepada insan-insan dan makhluk-makhluk lain, khususnya kepada mereka yang kita bertanggungjawab secara langsung ke atas mereka.

Kita membina kehidupan kita secara holistik dan seimbang agar kita selamat di dunia dan akhirat. Berpaksikan kepada garis panduan hablum minaallah dan hablum minaanas.

Hablum minaallah secara ringkasnya menggariskan hubungan kita dengan ALLAH SWT sebagai Pencipta dan Rabb kita. Hablum minaanas pula menggariskan tentang hubungan kita sesama manusia.

Kita jaga akidah dan tauhid kita kepada-NYA dengan menunaikan kewajipan kita kepada-NYA sepertimana yang digariskan dalam al-Quran termasuk apa yang disebut dalam Rukun Islam dan Rukun Iman. Kita sempurnakan juga tanggungjawab kita terhadap sesama manusia, kepada ahli keluarga, jiran, sahabat handai, masyarakat sekeliling dan juga terhadap insan sejagat.

Selamat di dunia dan akhirat

Surah al-Asr mengajar kita untuk peka dan prihatin dengan masa agar kita mengisinya dengan sebaik mungkin. Melalui satu cara hidup yang seimbang antara ibadah kepada-NYA dan amal jariah kepada insan serta makhluk-NYA, antara tuntutan dunia dan akhirat.

Dengan petunjuk tersebut seseorang bisa menggapai kebahagiaan dan keselamatan hidup di dunia dan akhirat. Insya ALLAH

* Wan Haron Wan Hassan ialah seorang peguam