Operasi cari Acap sah ditangguhkan sementara

Gambar kecil: Razarudin
Gambar kecil: Razarudin
A
A
A

IPOH - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, atau dikenali sebagai Acap ditangguhkan sementara bermula hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, penangguhan itu dilakukan selepas gagal memperoleh petunjuk baharu selepas 25 hari usaha pencarian dilakukan sama ada dalam bentuk operasi mahupun siasatan di luar konteks.

Menurutnya, mangsa masih tidak ditemui setelah menggunakan pelbagai kaedah di kawasan pencarian dari 35km kepada 48km persegi.

"Ia bagi membolehkan pasukan penyelamat merangka strategi lain yang mungkin boleh membantu mengesan mangsa berdasarkan kepada pengalaman yang lepas.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis tak dapat halang orang awam bantu cari Acap

"Selain itu, ia bertujuan untuk menghadkan pergerakan-pergerakan pencarian oleh orang ramai di kawasan terlibat sehingga boleh mengganggu sensitiviti masyarakat serta memberi ruang kepada penduduk melaksanakan tindakan mengesan mangsa dalam konteks setempat," katanya.

Razarudin berkata, penangguhan itu dapat memberi ruang kepada keluarga untuk bertenang serta mengelakkan mereka menjadi sasaran kepada berita atau kenyataan yang tidak benar.

"SAR peringkat pertama dilakukan selama tujuh hari bermula 24 Mac lalu meliputi 16 lokasi darat dan air selain pemeriksaan di penginapan dan hospital berhampiran.

Artikel Berkaitan:

"Usaha pencarian diteruskan di peringkat kedua sehingga semalam dalam skala kecil yang dijalankan termasuk Pasukan Khas Operasi Taktikal Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Selangor dan Negeri Sembilan serta orang awam," katanya.

Dalam kejadian 23 Mac lalu itu, Acap yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 km disedari hilang selepas tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas pertandingan itu.