Rakyat perlu berani ambil risiko, kata ADUN Johor Lama

Rosleli (dua dari kiri) ketika hadir majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Hari Bertemu Pelanggan MOA Inc Peringkat Daerah Kota Tinggi.
Rosleli (dua dari kiri) ketika hadir majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Hari Bertemu Pelanggan MOA Inc Peringkat Daerah Kota Tinggi.
A
A
A
KOTA TINGGI - Rakyat perlu lebih berani mengambil risiko dan sudah tiba masanya untuk berbakti pada tanah.

ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari berkata, ini kerana pertanian merupakan tunggak asas kepada kehidupan manusia baik dari segi sumber makanan, kewangan dan juga ekonomi.

Menurutnya, slogan ‘pertanian adalah sumber rezeki’ bertujuan untuk mentransformasikan minda golongan petani ke arah pertanian berskala besar.

“Slogan berkenaan juga bertujuan menjadikan petani ke arah pengurusan yang teratur dan dapat mengeluarkan produk yang berkualiti serta selamat dimakan untuk pasaran dalam dan luar negara.

“Ia juga mampu menjana pendapatan lebih besar dan bersaing di peringkat antarabangsa dan oleh demikian, persepsi rakyat terhadap sektor pertanian perlu diubah,” katanya ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Hari Bertemu Pelanggan MOA Inc Peringkat Daerah Kota Tinggi di Dewan Taman Pasak Indah, kelmarin.

Pada majlis itu, Rosleli turut menyerahkan sijil insentif kelulusan program perintis keusahawanan Johor (PKJ) 2019 di mana jumlah keseluruhan peruntukan diberikan kepada DUN Penawar dan DUN Johor Lama adalah berjumlah RM72,170.

Bagi insentif kelulusan projek pembangunan peruntukan negeri 2019 pula melibatkan jumlah keseluruhan RM81,288 bagi DUN Tanjung Surat dan DUN Johor Lama.

Sementara itu bagi insentif kelulusan projek pembangunan peruntukan persekutuan 2019 bagi penerima di dua DUN yang sama menerima jumlah keseluruhan RM163,890.

Projek pertanian bandar bagi DUN Tanjung Surat pula menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM1,500.
Artikel Berkaitan:


Jelas Rosleli, walaupun nilai bantuan yang diberikan tidaklah terlalu besar, tetapi ia merupakan galakan kepada penerima ke arah projek yang lebih maju.