X

Kindly register in order to view this article
!

Jokowi, Prabowo sama hebat

A
A

Pilpres hari ini bakal tentukan nasib 250 juta penduduk Indonesia

PILIHAN Raya Umum Presiden (Pilpres) Indonesia melabuhkan tirainya apabila 196.5 juta pengundi layak untuk memilih Presiden hari ini, 17 April.

Presiden Joko Widodo yang akan mempertahankan jawatan Presiden Indonesia untuk penggal keduanya pada Pilpres, bergandingan dengan pasangan baharu, Ma’ruf Amin, tokoh ulama terkemuka Indonesia untuk pencalonan Naib Presiden.

Pesaingnya, gabungan parti pembangkang mendaftarkan Ketua Umum Parti Gerindra, Prabowo Subianto sebagai calon Presiden dan bekas Timbalan Gabenor Jakarta, Sandiaga Uno sebagai calon Naib Presiden.

Empat bulan sebelum Pilpres, hasil pungutan suara oleh Institut Penyelidikan berwibawa seperti Indikator Politik, Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC), Indonesian Survey Institute (LSI) dan Kompas, menunjukkan keunggulan mutlak pasangan Joko (Jokowi) Widodo-Ma’ruf Amin berbanding gandingan Prabowo Subianto-Sandiaga Uno.

Dalam kaji selidik tersebut, Jokowi dijangka mendahului lebih daripada 50 peratus suara pemilih, sedangkan Prabowo hanya mendapat 30 peratus. Namun sehingga 13 April lalu, kedudukan seimbang, sama hebat.

Kemungkinan Jokowi menang lebih tinggi berbanding Prabowo jika dilihat daripada sokongan parti-parti politik. Jokowi didokong gabungan sembilan parti, sedangkan Prabowo hanya lima.

Namun ramai penganalisis meletakkan Jokowi belum pasti menang. Walaupun Jokowi mendapat banyak pujian daripada calon pemilih dengan pembangunan infrastruktur seperti jalan, kapal terbang dan pelabuhan, namun lawannya masih dapat menjatuhkannya dengan isu-isu lain.

Salah satunya adalah isu agama. Isu itu terbukti berhasil menggagalkan usaha mantan Gabenor DKI Jakarta Basuki (Ahok) Tjahaja Purnama untuk terpilih dalam Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) tahun 2017.

Belajar daripada kekalahan Ahok, Jokowi mengubah strateginya. Pada Pilpres 2014 Jokowi memilih Ma’ruf Amin, pemimpin Majelis Ulama Indonesia yang konservatif dan merupakan Ra’is Aam (Dewan Penasihat) Pengurus Besar Nahdatul Ulama (PBNU), sebagai calon wakil presidennya.

Ia juga berhasil membujuk parti pembangkang untuk mengubah haluan, termasuk tokoh politik Islam, Ali Mochtar Ngabalin.

Ketika lawannya berusaha mempolitikkan isu-isu agama, seperti berkaitan pembakaran bendera bertulis kalimat tauhid, usaha mereka kurang berhasil dengan keterlibatan Nahdlatul Ulama (NU), organisasi Islam terbesar di Indonesia.

Angin perubahan

Penulis yang kini berada di Jakarta menemu ramah beberapa rakan penyelidik menelah sama ada Joko boleh mempertahankan jawatannya sebagai Presiden, kerana semacam wujud angin perubahan iaitu tentangan hebat daripada pasukan Prabowo.

Untuk rekod, pada Pilpres 2014, Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) memenangi 109 kerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan disokong parti-parti Golkar (91 kerusi), Partai Amanat Nasional (48 kerusi), PKB (47 kerusi), PPP (39 kerusi), NasDem (36 kerusi) dan Partai Hati Nurani Rakyat (Hanura), 16 kerusi.

Parti pembangkang kepada pemerintah Indonesia ketika ini ialah Partai Gerindra yang memiliki 73 kerusi, Partai Keadilan Sejahtera (40 kerusi) dan Partai Demokrat yang memenangi 61 kerusi memutuskan untuk menjadi parti bebas di DPR.

Pada pencalonan Pilpres 2019, Jokowi dan Ma’aruf mendapat sokongan penuh daripada parti PDIP, PKB, PPP, Partai Golkar, Partai Hanura dan Partai Nasdem. Pasangan Prabowo-Sandiaga disokong Parti Gerindra, Partai Amanat Nasional dan PKS.

Pada Pilpres 2014, Jokowi yang berpasangan dengan Jusuf Kalla menang selepas memperoleh 53.15 peratus undi, mengalahkan pasangan Prabowo Subianto-Hatta Rajasa yang memperoleh 46.85 peratus undi.

Namun Jusuf Kalla tidak lagi dicalonkan sebagai Naib Presiden kerana menjadi Naib Presiden selama dua penggal iaitu bersama Jokowi (2014-2019) dan Naib Presiden kepada Presiden Indonesia ke-6, Susilo Bambang Yudhoyono (2004-2009).

Perlembagaan Indonesia menetapkan bahawa jawatan Presiden atau Naib Presiden boleh dijawat maksimum dua penggal sahaja.

Undi rakyat Jawa

Pengamatan penulis mendapati Joko menyifatkan undi rakyat Jawa Tengah bakal menentukan kemenangan beliau dan pasangannya, Ma’ruf Amin dalam Pilpres 17 April.

Lapor Poskota News, Jokowi mendakwa undi masyarakat Jawa Tengah akan menutup kekurangan undi di wilayah lain yang belum mencapai sasaran. Jawa Tengah sejak dahulu merupakan tempat penentu bakal Presiden kerana aura yang telah menelurkan ramai mantan Presiden dan pemimpin ulung di Indonesia.

Hati-hati, Jawa Tengah akan menentukan menang atau tidak. Ini kerana tambahan peratusan boleh pilih di Jawa Tengah akan kita gunakan untuk menutup kekurangan di tempat lain, ujar Joko semasa kempen terbuka di Lapangan Sriwedari, Laweyan, Solo, Jawa Tengah.

Kata Jokowi yang juga bekas Gabenor Jakarta, setelah melihat kehadiran lautan manusia penyokongnya, beliau mahu majoriti undi ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 70 peratus berbanding 66 peratus sebelum ini.

Seperti dijangka, penggunaan media sosial menjadi isu utama kerana penyebaran berita palsu yang menular bertujuan menjatuhkan calon bertanding. Sekumpulan penyokong pemimpin itu membawa replika keranda tertulis, ‘kuburkan berita palsu’ sebagai sebahagian daripada kempen menghalang penyebaran maklumat palsu.

Peluang Prabowo

Prabowo sebenarnya berpotensi menang dengan cara sederhana. Dirinya perlu lebih menyoroti kelemahan ekonomi Indonesia di bawah Jokowi.

Namun, isu ekonomi tetap menjadi ancaman. Jokowi dijangka menang selama ekonomi dalam keadaan baik. Masalahnya, banyak faktor luaran yang berada di luar kawalan Jokowi, yang mampu mengganggu perekonomian Indonesia seperti perang dagang antara Amerika Syarikat dengan China, krisis ekonomi di Turki, masalah di Uni Eropah yang disebabkan Brexit dan krisis anggaran belanja negara Itali.

Awal September, 2018, nilai Rupiah terhadap Dolar jatuh Rp15,000 per Dolar. Meski pada November nilai Rupiah mengukuh, namun pertukaran Rupiah masih berpotensi melemah kerana ketidakpastian perekonomian dan perpolitikan global. Hal itu menjadi isu hebat menunjukkan “kelemahan” Jokowi.

Apatah lagi dengan turunnya harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit menyebabkan beberapa wilayah yang bergantung kepada komoditi ini marah dan mahu menukarkan presiden.

Tim Prabowo dilihat lebih popular dengan cara debat dan pidato yang lebih berpengaruh serta ramai peminat. Isu yang sering ditampilkan antaranya janji-janji oleh Joko yang tidak ditunaikan lagi, wujudnya politik wang, usaha penyalahgunaan kuasa terutamanya kes kertas undi yang ditandai dahulu semasa pemilihan di Kuala Lumpur, Malaysia yang terus menular dalam media sosial hingga kini.

Kritikan Prabowo terhadap urusan ekonomi Jokowi disampaikan secara agresif oleh pasangannya, seorang ahli perniagaan yang terjun ke dunia politik, Sandiaga Uno.

Salah satu yang dilakukan Sandiaga adalah menanyakan mengapa ukuran tempe (makanan Indonesia) di pasar-pasar semakin menipis seukuran kad ATM. Serangannya terhadap urusan ekonomi Jokowi juga mencakupi pernyataan bahawa wang Rp100.000 yang dia bawa ke pasar hanya dapat membeli lada dan bawang merah.

Strategi satira Sandiaga ternyata memberi kesan dan membekas di jiwa pengundi.

Ketika ini, kemungkinan Jokowi untuk menang masih tinggi, selama ekonomi dunia tidak memburukkan Indonesia dan selama dia mampu menghindar segala kontroversi-kontroversi peribadi mahupun agama.

Sementara itu, kesempatan menang Prabowo masih terbuka. Prabowo perlu menawan pengundi kelompok minoriti etnik dan agama. Juga mengurangkan pernyataan-pernyataan yang menyinggung suku, ras dan agama yang kerap dilontarkan penyokongnya, yang menyebabkan kelompok moderat dan minoriti kurang selesa untuk memilih Prabowo-Sandi.

Adakah dengan lawatan Joko ke Riyadh, Arab Saudi, berkunjung hormat terhadap Raja Salman bagi tujuan tingkatkan kerja sama ekonomi dan urusan penambahan kuota haji pada 14 April baru-baru ini akan merubah sokongan?

Semuanya akan terjawab hari ini apabila pengundi memilih bakal Presiden mereka.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!