‘Tak sangka arwah isteri layak’

Mohd Yazid (tiga dari kiri) menyerahkan cek FPM kepada Mohd Shafiee Azim (dua dari kanan) sambil diperhatikan Suhara (dua dari kiri) di Kampung Asam Kumbang, Batu Pahat, semalam.
Mohd Yazid (tiga dari kiri) menyerahkan cek FPM kepada Mohd Shafiee Azim (dua dari kanan) sambil diperhatikan Suhara (dua dari kiri) di Kampung Asam Kumbang, Batu Pahat, semalam.
A
A
A

BATU PAHAT - Suami mangsa kemalangan maut di Kampung Asam Kumbang, di sini, tidak menyangka isteri layak menerima bantuan dari Perkeso walaupun tidak sampai sebulan arwah bekerja.

Mohd Shafiee Azim Ibrahim, 25, berkata, arwah isterinya, Hanis Suraya Zul Afizi, 21, terlibat dalam kemalangan di Jalan Batu Pahat-Muar berhampiran Kampung Sungai Kajang, Sabtu lalu sewaktu pulang dari tempat kerjanya di sebuah pasar raya di Tongkang Pechah, di sini.

“Ketika itu isteri menunggang motosikal selepas tamat kerja syif malam dan sewaktu tiba di tempat kejadian, ada saksi melihat motosikal isteri saya dihimpit beberapa penunggang motosikal sebelum dia terjatuh di tengah jalan raya.

“Isteri sempat angkat motosikalnya, namun disebabkan jalan gelap, isteri dirempuh kereta dari arah bertentangan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat ceder parah di badan dan kepala,” katanya.

Dia ditemui semasa menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) Perkeso Batu Pahat yang disampaikan Pegawai Kebajikan dan Belia DUN Semerah, Mohd Yazid Tumin di rumah keluarga mertuanya di Kampung Asam Kumbang, semalam.

Menurutnya, sewaktu kejadian, dia cuba hubungi telefon bimbit isterinya, namun tidak berangkat sebelum seorang lelaki menghubunginya semula menggunakan telefon bimbit isterinya memaklumkan isterinya terlibat kemalangan.

“Ketika itu saya hanya dimaklumkan isteri patah kaki sahaja dan sewaktu saya dalam perjalanan ke lokasi kejadian, saya dihubungi sekali lagi dan dimaklumkan isteri sudah meninggal dunia dan ketika saya sampai, ibu dan bapa mertua saya juga sudah tiba di lokasi kejadian.

“Sebenarnya, kalau hendak diikutkan, hari ini (semalam) baharu isteri genap sebulan bekerja sebagai jurujual di pasar raya dan sebab itu saya tak sangka dia (arwah isteri) layak menerima bantuan Perkeso dan duit ini akan digunakan untuk kenduri arwah serta upah haji untuknya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengurus Perkeso Batu Pahat, Suhara Mustaffa berkata, waris Hanis Suraya layak menerima FPM sebanyak RM2,000 selain Mohd Shafiee Azim menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) Mei ini.

“Sewaktu terima maklumat, Skuad Perkeso Prihatin (SPS) dapatkan maklumat mangsa dan hasil semakan mangsa layak terima FPM kerana ketika kejadian dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bekerja,” katanya.