PH jangan takut slogan 'Malu Apa Bossku', pesan Rizam

Rizam (duduk dari kiri) bergambar bersama penduduk pada Program Santai bersama Rakyat di Medan Selera, Pekan Sabak di sini.
Rizam (duduk dari kiri) bergambar bersama penduduk pada Program Santai bersama Rakyat di Medan Selera, Pekan Sabak di sini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang bimbang slogan 'Malu Apa Bossku' membawa nilai negatif kepada golongan muda disifatkan sebagai takut dengan bayang-bayang sendiri.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail berkata, pentadbiran PH cuba menutup kelemahan selepas mengambil alih pentadbiran negara.

Menurutnya, PH sepatutnya memberi tumpuan terhadap masalah rakyat dan bagaimana ingin melaksanakan manifesto pada PRU14 lalu.

"Mengapa perlu mempertikaikan slogan dan sebagainya? PH sepatutnya memikirkan kenapa mereka tak mampu melaksanakan segala janji kepada rakyat," katanya pada Program Santai bersama Rakyat di Medan Selera, Pekan Sabak, di sini.

Rizam yang juga ADUN Sungai Air Tawar yakin gelombang anak muda pada ketika ini memberi sokongan kepada blok pembangkang.

"Gelombang inilah yang menggusarkan PH kerana semakin hari rakyat rasa tertekan apatah lagi kenyataan menteri dan timbalan menteri mereka semakin kalut.

"Negara ketika ini berada pada satu tahap yang amat membimbangkan dari sudut ekonomi dan pelaburan," katanya.

Beliau memberitahu, anak muda mula membuka fikiran masing-masing meskipun mereka pada mulanya terpengaruh dengan janji palsu dan fitnah dilontarkan PH.

Artikel Berkaitan:

"Kita tak boleh salahkan mereka sebab memang sifat mereka membuat sesuatu keputusan mengikut pemikiran mereka pada waktu itu," katanya.

Justeru, katanya, kerajaan PH dilihat tidak mampu bertahan lama sekiranya aspirasi rakyat tidak diberi keutamaan.

"Mereka naik (menang PRU14) bukan atas keikhlasan mereka kepada rakyat tetapi menang sebab kejayaan dalam menabur fitnah dan tomahan kepada kerajaan terdahulu.

"Anak muda mahu melihat mana sejuta pekerjaan baru dijanjikan, harga minyak sama seperti dulu, malah berlaku banyak pengangguran, selain harga barang pula semakin meningkat," katanya.

Sebelum ini, Mukhriz berkata, beliau bimbang dengan budaya negatif dibawa oleh bekas pemimpin BN yang terbabit dalam isu rasuah dan mencuri duit negara.

Mukhriz, yang juga Menteri Besar Kedah, berkata bekas pemimpin negara itu dilihat seolah hilang akal apabila mengajar anak muda dengan nilai-nilai negatif dengan membawa slogan seperti 'Malu Apa Bossku'.

ARTIKEL BERKAITAN 'Malu apa bossku', budaya negatif dibawa BN: Mukhriz