Maimunah setia, tabah jaga suami terlantar

Maimunah menerima sumbangan kurniaan TMJ yang disampaikan oleh wakil Pejabat Daerah Muar, Mohamad Fahmi Zakaria sambil diperhatikan Ketua Cawangan PVATM Muar, Shamsuddin Rais (kanan) di Kampung Naib Piee, Bukit Pasir, Muar, semalam.
A
A

MUAR - Seorang isteri dari Kampung Naib Piee, Bukit Pasir, di sini, setia menjaga suami yang terlantar akibat strok 20 tahun lalu.

Maimunah Rasid, 68, berkata, walaupun kudrat tidak sekuat dahulu, namun sebagai isteri, dia berusaha menjaga keperluan suaminya, Othman Sanapon yang berusia 71 tahun.

Ibu kepada tujuh cahaya mata ini berkata, kehidupan keluarganya berubah setelah suaminya tiba-tiba lemah sewaktu pulang dari kerja.

“Selepas suami bersara sebagai tentera pada 1986, dia melakukan beberapa pekerjaan lain. Dan tak silap saya, suami bekerja sebagai pemandu lori pada 1994.

“Pada peringkat awal strok, suami masih boleh bertutur walaupun kurang jelas dan mampu memalingkan badan ke kiri dan kanan. Ketika itu, enam anak masih bersekolah dan belajar kecuali anak kedua sahaja sudah bekerja.

“Dengan tiada sebarang persediaan, saya akui pada saat itu ujian besar buat saya sebagai isteri dan ibu kerana rutin berubah secara mendadak.

“Tanggungjawab saya sangat besar sebab selain memastikan sumber kewangan keluarga mencukupi, rutin penjagaan suami juga harus diutamakan,” katanya.

Katanya, dia bernasib baik kerana anak banyak membantu terutama anak kedua saya yang banyak menghulurkan nafkah demi keperluan adik-beradiknya.

Maimunah berkata, kini, setelah 20 tahun berlalu, suaminya hanya mampu melihat dan mendengar tanpa sebarang tindak balas.

“Dia dengar dan faham arahan kita, namun tak boleh nak respon macam dulu.

“Sekarang nak paling muka pun tak larat. Meskipun anak semua dah bekerja, namun alhamdulillah empat daripada mereka sanggup berkorban bekerja di daerah ini demi membantu saya menguruskan bapanya,” katanya.

Terdahulu, Maimunah terharu apabila menerima bantuan kurniaan daripada Tengku Mahkota Johor (TMJ) bernilai RM1,000 yang disampaikan wakil Pejabat Daerah Muar, Mohamad Fahmi Zakaria ketika sama-sama mengunjungi Othman di bawah aktiviti lawatan Pejabat Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Muar.