Komplot baharu AS-Israel

Deal of the century akan menjejaskan usaha damai kepada konflik Israel- Palestin.
Deal of the century akan menjejaskan usaha damai kepada konflik Israel- Palestin.
A
A
A

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Pelan damai pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, deal of the century sekali lagi berpihak kepada Israel selepas Washington mengiktiraf kedaulatan negara itu ke atas Bukit Golan selain mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai 'ibu negara' Tel Aviv.

Rancangan damai yang wajar digelar komplot AS-Israel itu jelas berat sebelah kerana ia hanya merangkumi 'cadangan praktikal' untuk memperbaiki kehidupan penduduk Palestin dan tidak lebih daripada itu.

Menurut laporan The Washington Post, ia turut menyekat cadangan penubuhan negara berdaulat Palestin bersama Israel.Butiran perjanjian itu dijangka diterbitkan tidak lama lagi selepas lebih dua tahun ia 'diformulasikan' oleh kumpulan mewakili Trump termasuk wakil khas, Jason Greenblatt dan penasihat kanan jutawan hartanah itu, Jared Kushner.

Sumber rapat Kushner dan pegawai AS mendedahkan rancangan itu agak berbeza dan tidak melibatkan pelan damai yang telah diusahakan pemimpin terdahulu sejak lebih 20 tahun lalu sebaliknya ia hanya memberi tumpuan terhadap keselamatan Israel.

"Kushner dan pegawai AS mengaitkan perdamaian dan pembangunan ekonomi kepada pengiktirafan rantau Arab ke atas Israel dan penerimaan versi status quo terhadap 'kuasa autonomi' Palestin sebagai menentang kedaulatan wilayah itu," jelas laporan itu.

Pelan empat teras

Menerusi wawancara bersama Sky News Arabia, menantu Trump berkata, mereka cuba mencari penyelesaian yang adil terhadap isu tersebut pada 2019 untuk membolehkan masyarakat menjalani kehidupan lebih baik walaupun ia tidak menawarkan sebarang insentif khusus kepada penduduk Palestin.

Tetapi, apa yang Kushner cuba tawarkan di bawah pelan empat teras iaitu kebebasan, menghormati, keselamatan dan peluang untuk semua pihak itu hanyalah cadangan mengenai peluang ekonomi untuk penduduk Palestin sebagai pertukaran dengan rampasan ke atas Tebing Barat dan wilayah lain yang menjadi pertikaian antara Israel-Palestin.

Sementara itu, pegawai di Rumah Putih menyifatkan pelan itu kononnya realistik.

Artikel Berkaitan:

"Kami mengkaji usaha sebelum ini dan memperoleh idea daripada kedua belah pihak dan rakan di rantau terbabit. Oleh itu, kami telah mengambil pendekatan tidak konvensional tidak bersembunyi daripada realiti sebaliknya bercakap benar," ujarnya.

Laporan laman maklumat Axios memetik kenyataan pemerintah Jordan, Raja Abdullah II mendakwa Rumah Putih tidak memberi sebarang maklumat tentang rancangan mereka untuk membahagikan wilayah Palestin ketika mesyuarat tertutup antara beliau dengan penggubal undang-undang AS pada bulan lalu.

Penduduk Palestin membantah perjanjian damai baharu yang dicadangkan pentadbiran Trump.
Penduduk Palestin membantah perjanjian damai baharu yang dicadangkan pentadbiran Trump.

Sebelum ini, Trump dengan angkuh memaklumkan rakan pemimpin dunia bahawa beliau akan mengubah tanggapan tradisional tentang cara untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin tersebut.

Tetapi, hasil tersebut tidak akan kelihatan seperti diplomasi peribadi beliau bersama Korea Utara kerana ia bakal kelihatan seperti 'produk' Kushner yang menjadi agen Trump dalam kesemua perjanjian damai di Timur Tengah sejak pemimpin itu mengambil alih jawatan di Rumah Putih pada 2017.

Berat sebelah

Seramai 25 bekas pegawai negara anggota Kesatuan Eropah (EU) termasuk bekas Setiausaha Luar Parti Buruh di Britain, David Miliband dan Jack Straw menandatangani surat mendesak penolakan deal of the century jika ia bersifat berat sebelah terhadap Palestin.

Surat yang menzahirkan keraguan terhadap perjanjian dibuat AS itu turut meminta EU berpegang teguh pada prinsip menyokong penyelesaian dua negara dalam menangani isu Israel-Palestin.

"Kami yakin perjanjian itu cuba mengurangkan status Palestin kepada entiti yang tidak mempunyai kedaulatan, persempadanan wilayah dan daya maju ekonomi yang akan menyebabkan kegagalan teruk dalam usaha damai sebelum ini," kata salah seorang daripada mereka.Mereka turut mengkritik pentadbiran Trump kerana mengambil pendekatan tidak ambil peduli terhadap projek peluasan kawasan penempatan haram Yahudi yang disokong Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, cabaran pertama yang perlu dihadapi kerajaan baharu adalah deal of the century.

Jelasnnya, sebarang usaha untuk berunding dengan pentadbiran Trump adalah perkara sia-sia.

"Sejak daripada awal kami menolak perjanjian itu kerana ia tidak merangkumi Baitulmaqdis dan kami tidak mahu menubuhkan negara tanpa Baitulmaqdis atau Gaza," tegasnya.

Pelan damai yang bakal mencetuskan kontroversi itu dijangka diumumkan ketika sambutan ulang tahun ke-71 Hari Nakba (Malapetaka) pada 15 Mei depan yang menyaksikan pengusiran hampir sejuta penduduk Palestin ketika wilayah itu diduduki Israel pada 1948. - Agensi