India rampas 'hadiah' beli undi RM1.5 bilion

Pihak berkuasa India merampas pelbagai barangan yang digunakan untuk menarik sokongan pengundi.
Pihak berkuasa India merampas pelbagai barangan yang digunakan untuk menarik sokongan pengundi.
A
A
A

NEW DELHI - INDIA. Agensi penguatkuasaan India telah merampas wang tunai, minuman alkohol, dadah, emas dan barang kontraban bernilai 25 bilion rupee (RM1.5 bilion) ketika musim pilihan raya di negara itu yang menyaksikan hasil rampasan meningkat dua kali ganda berbanding pemilihan 2014.

Barang rampasan itu dipercayai digunakan sebagai 'hadiah' untuk membeli undi atau menarik sokongan pengundi.

Serbuan ke atas lapangan terbang, lebuh raya, stesen kereta api, hotel dan rumah ladang dilakukan pasukan pemerhati Suruhanjaya Pilihan Raya dan agensi penguatkuasaan undang-undang.

Difahamkan, pihak terbabit turut menggunakan ambulans untuk mengangkut barang terbabit bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Ia menjadi ancaman yang membimbangkan, ia adalah penyakit kebangsaan. Situasi itu juga menunjukkan bagaimana rakyat meletakkan lebih banyak keyakinan terhadap wang berbanding polisi dan program," kata bekas ketua pesuruhjaya pilihan raya, V S Sampath.

Ahli politik turut memberikan petrol, makanan percuma dan payung yang masih berada di bawah had perbelanjaan dibenarkan untuk setiap calon iaitu maksimum 7 juta rupee (RM416,300) atau harga model kereta mewah Jaguar di India.

Menerima wang untuk mengundi calon boleh dihukum penjara atau didenda.

Menurut jurucakap pemerhati pilihan raya, Sheyphali Saran, penyalahgunaan wang telah menjadi cabaran besar dan pelanggaran kes itu juga semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

Peningkatan kes beli undi itu secara ketara menjadikan pilihan raya di India sebagai termahal di dunia. - Agensi