Sikap adil kepada diri sendiri

A
A
A

KITA semua mempunyai orang yang disayangi. Di antara ibu atau bapa pun, barangkali kita menyayangi ibu lebih daripada bapa.

Jangan rasa bersalah apabila kita melebihkan perasaan kepada ibu kerana ia soal hati. Asalkan kita sayang ibu tetapi tidak benci ayah, itu sudah cukup baik.

Dalam kalangan adik-beradik pun kita melebihkan rasa sayang kepada adik, bukannya abang sulung kerana kita membesar dan bermain dengan adik sedang abang sulung belajar jauh di sekolah berasrama penuh.

Begitu juga dengan kawan sekolah, teman sekampus, jiran sekeliling, malah rakan-rakan kumpulan WhatsApp. Atas sebab-sebab tersendiri kita melebihkan sayang dan perhatian kepada seseorang dalam setiap kumpulan.

Kita ada kawan baik di sekolah, kawan baik di kampus, kawan baik di kawasan tempat tinggal dan juga kawan baik dalam setiap kumpulan WhatsApp. Namun, tidak boleh tidak, insan yang paling kita sayangi adalah diri kita sendiri. Hari-hari kita melihat wajah di cermin. Barangkali kita senyum, barangkali juga kita memandangnya dengan rasa malu atau meluat.

Apabila pening, kita memicit dahi dan tengkuk sebelum mencari Panadol, mengusap perut untuk memujuk apabila lapar dan menyapu losen pada tangan dan lengan apabila berasa kering pada kulit.

Apabila dimarahi orang, kita berasa amat pilu dan menangis untuk meredakan kepedihan itu. Apabila dipuji dan disanjung pula kita menangis lagi untuk mengimbangi emosi kerana terlalu gembira.

Diri ini, kaulah intan kaulah payung. Kaulah racun, kaulah juga penawar. Pendek kata kita akan mendahulukan diri sendiri. Diri ini mahukan kita berasa senang, selesa dan selamat.

Artikel Berkaitan:

Cuma kadang kalanya, kesenangan, keselesaan dan keselamatan yang kita lakukan kerana sayang diri itu sebenarnya adalah sokongan yang membawa rebah! Bagaimana ini boleh terjadi? Ia berlaku kerana terdapat dua sikap kita yang jika tidak dikendalikan dengan baik, ia boleh memakan diri.

Apakah sikap-sikap itu? Pertama, mementingkan diri. Kedua, memaafkan diri.

SIKAP mementingkan diri itu pada zahirnya amat baik untuk kita. Memang diri kita ini harus dipentingkan. Jika tidak kita, siapa pula yang hendak membela kita? Bila beratur untuk membayar di pasar raya, kita berhak menghalang orang yang hendak memotong barisan.

Begitu juga, apabila perlu menyiapkan kerja rumah, kita tidak dapat duduk santai bersama keluarga menonton drama TV. Kita ke dapur sendirian kerana tugas kita itu penting.

Apabila kita berdoa kepada Yang Maha Esa pun, kita mendahulukan diri sendiri berbanding berdoa untuk anak-anak, keluarga, sahabat handai dan taulan. Sikap ini menjadi tidak baik apabila kita tidak adil kepada orang lain yang berhak. Sewaktu beratur hendak membayar di restoran, kita memotong barisan kerana kita hendak cepat selesaikan bayaran.

Kerana sibuk hendak siapkan kerja rumah, kita tidak peduli kepada keluarga yang sedang menonton TV walaupun bertanya itu, ini sekadar mengambil hati, petanda yang kita pun ingin bersama menonton tetapi tidak dapat berbuat begitu kerana sibuk.

Dan kita hanya berdoa untuk diri sendiri hingga tidak meminta untuk mereka yang mengasihani kita meskipun berdoa itu percuma dan tidak berasa yang menggembirakan orang lain itu akan menggembirakan kita sendiri akhirnya.

Sikap sentiasa memaafkan diri itu bagus sebagai mekanisme memujuk diri apabila berasa bersalah atas sesuatu kesilapan yang besar.

Namun, jika kita sentiasa memaafkan diri tetapi menyalahkan orang lain, akhirnya kita akan berperangai seolah-olah diri kita ini maksum. Orang lain salah, kita sahaja yang betul. Kalau pun orang lain ada betulnya, kitalah yang lagi betul!

Kita marah-marah melihat pemandu lain melanggar lampu merah, tetapi kita juga memotong di lorong kecemasan. Kita marah kepada orang yang mengumpat, tetapi kita sendiri mengumpat dia yang mengumpat. Macam mana tu? .

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian