X

Kindly register in order to view this article
!

Melaka atur strategi tarik pelabur

Adly (kiri) menerima cenderahati daripada Chee Hong ketika lawatan ke Infineon Technologies (M) Sdn Bhd di Batu Berendam, di sini, hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri akan terus mengatur strategi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Melaka tetap memberangsangkan pada tahun ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pertumbuhan ekonomi negeri dijangka terus stabil pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus dalam tempoh sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya akan merangka pelan induk mengikut kesesuaian bagi menggalakkan pelaburan asing dan domestik dalam merealisasi sasaran pelaburan RM5 bilion.

Menurutnya, langkah itu termasuk mewujudkan iklim pelaburan yang lebih kondusif melalui pemantauan dan penambahbaikan infrastruktur di kawasan-kawasan perindustrian sekitar negeri ini.

Katanya, setakat ini terdapat 418 buah kilang beroperasi dan 165 dari jumlah itu merupakan syarikat pelaburan asing manakala 235 syarikat pelaburan tempatan.

"Untuk terus jadikan Melaka sebagai ‘First Choice for Top Performers’ dalam kalangan pelabur tempatan dan antarabangsa, beberapa strategi perlu dirangka.

"Antaranya pertemuan di antara pemimpin negeri dengan pengurusan atasan syarikat diadakan lebih kerap bagi menjalinkan hubungan baik di antara kedua-dua pihak selain sesi lawatan ke kilang serta majlis dialog dengan pengilang bagi mengurus semua isu dan masalah berbangkit dengan kadar segera," katanya.

Adly berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan ke Infineon Technologies (M) Sdn Bhd (Infineon) di Batu Berendam, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan dan Pengarah Urusan Infineon, Lee Chee Hong.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, isu kesesakkan terutama pada waktu puncak di hadapan kawasan perindustrian Infineon akan diberikan perhatian serius termasuk melihat semula pelan jalan raya negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa mencari penyelesaian baharu dan yakin pelan pembangunan fizikal syarikat yang berusia 46 tahun dengan nilai pelaburan sebanyak RM12 bilion dalam tempoh itu mampu bekerjasama untuk mencari titik noktah kepada permasalahan penguraian trafik.

Katanya, usaha itu bertepatan dengan perancangan mereka di bawah (Blueprint 2.0) dalam tempoh lima tahun bermula Julai depan yang mana kerajaan negeri juga bersedia untuk bekerjasama dari segi infra dan pelaksanaannya dijangka akan membawa pelaburan mencecah sehingga RM1bilion.

"Kerajaan negeri menyokong pelan pembangunan secara fizikal itu, bila ada pelan pembangunan, kita boleh berbincang lanjut bersama pelan jalan raya bagi menambah baik utiliti kawasan industri dan infrastruktur," katanya.