ECRL: Kerajaan jimat wang negara

 Abu Bakar Yahya
Abu Bakar Yahya
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat seharusnya menyambut baik serta memberikan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan menjimatkan wang negara sebanyak RM21.5 bilion menerusi rundingan pengurangan kos pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata, penjimatan tersebut sebagai bukti bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad mengamalkan dasar pentadbiran yang telus serta bertanggungjawab.

"Kalau diikutkan semasa pentadbiran sebelum ini, kos asal pembinaan ECRL di adalah bernilai RM65.5 bilion.

"Bagaimanapun, selepas termeterainya perjanjian tambahan (SA) di antara CCCC (China Communications Construction Company Ltd.) dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd pada 12 April lalu, kos ECRL berjaya dikurangkan kepada RM44 bilion iaitu pada kadar 32.8 peratus berbanding kos asal yang meliputi dua fasa pembinaan dengan jarak keseluruhan 640 kilometer,”katanya.

Pada 12 April lepas, MRL dengan CCCC memeterai SA yang membolehkan projek ECRL yang ditangguhkan, disambung semula.

ECRL yang diluluskan kerajaan BN sebelum ini, ditangguhkan tahun lepas oleh kerajaan PH berikutan membabitkan kos yang terlalu tinggi.

Dalam perkara itu, Abu Bakar berkata, usaha ini jelas bahawa kerajaan pada hari ini mengambil sikap berhati-hati serta mengambil kira kepentingan negara dan rakyat dalam membuat sesuatu keputusan.

Pada masa sama, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri itu yakin bahawa perkembangan terkini mengenai ECRL itu akan memberi manfaat besar kepada rakyat negara ini khususnya dari segi pembangunan kawasan-kawasan baharu.

Artikel Berkaitan:

Limpahan manfaat itu jelasnya lagi termasuklah kepada industri-industri tempatan yang berkaitan apabila mana kerajaan menyasarkan penglibatan 40 peratus kontraktor tempatan dalam projek tersebut yang dijangka siap pada Disember 2026 sebagaimana yang diumumkan oleh bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.