Wartawan Quran perlu menulis berpandukan al-Quran

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail menyampaikan seminar di Seminar Wartawan Al-Quran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.- Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail menyampaikan seminar di Seminar Wartawan Al-Quran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.- Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 50 peserta yang terdiri daripada penulis bebas, blogger, ghostwriter dan wartawan mengambil bahagian dalam Seminar Wartawan Quran anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Penganjuran seminar tersebut merupakan satu daripada lima program dalam Simposium Keagungan al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail berkata, matlamat seminar berkenaan adalah untuk melahirkan penulis yang menulis berpandukan al-Quran.

"Ini termasuklah, membincangkan cara penulisan dan membentuk kerangka fikir penulis berdasarkan nilai-nilai al-Quran.

"Umum mengetahui al-Quran sentiasa membantu dan membimbing hati yang bengkok kepada jalan lurus. Ini bermakna, setiap penulisan berlandaskan al-Quran akan membawa pembaca kepada bahan bacaan yang benar dan bermanfaat," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi slot Tulis Sampai Tertulis pada Seminar Wartawan Quran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

Penulis Buku Siri Wartawan Quran, Ustaz Abdullah Bukhari menyampaikan seminar di Seminar Wartawan Al-Quran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Penulis Buku Siri Wartawan Quran, Ustaz Abdullah Bukhari menyampaikan seminar di Seminar Wartawan Al-Quran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Hadir sama, tiga penceramah profesional iaitu Penulis Buku Siri Wartawan Quran, Ustaz Abdullah Bukhari; bekas Ketua Pengarang Sinar Harian, Norden Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Denaihati, Amir Hassan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Fazrul, berada dalam zaman fitnah yang berlaku secara berleluasa telah menyebabkan sebahagian besar manusia menghasilkan artikel tidak sahih dan tidak beretika sehingga hilang tertib.

"Para penulis hari ini seharusnya meneruskan legasi 'kewartawanan' diamalkan pada zaman nabi seperti penggunaan bahasa, tanda baca, sumber dan menyebarkan maklumat tepat.

"Jangan menyebarkan fitnah dan cerita bohong semata-mata untuk mengaut keuntungan," tegasnya.

Sementara itu, Ustaz Abdullah pula memberitahu, lazimnya wartawan al-Quran akan memerhati berita sekeliling lalu dipersembahkan dalam bahasa mudah kepada para pembaca.

"Sebagai pendakwah yang memilih untuk memegang panji al-Quran, saya sifatkan diri ini sebagai wartawan al-Quran.

"Jika golongan wartawan mengejar berita eksklusif untuk menarik perhatian awam membeli akhbar maka dalam buku (Penulis Buku Siri Wartawan Quran) saya berusaha mencerakinkan pengalaman hidup dengan al-Quran agar lebih menarik minat orang Islam berdamping dengan kitab ALLAH," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar mereka yang berkecimpung dalam bidang penulisan supaya mempraktikkan etika wartawan al-Quran.

Antaranya ialah menetapkan niat ikhlas menulis dan mengikut format, menulis dengan konteks penulisan yang betul, elak salah faham dan menggunakan bahasa mudah serta tepat.