Terengganu sokong kerajaan banteras pencerobohan hasil laut

Azman (kanan) bersama Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali ketika ditemui media selepas merasmikan Bengkel Pemurnian Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Negeri Terengganu, di Akademi Perikanan Malaysia, Chendering, di sini, hari ini.
Azman (kanan) bersama Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali ketika ditemui media selepas merasmikan Bengkel Pemurnian Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Negeri Terengganu, di Akademi Perikanan Malaysia, Chendering, di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Terengganu menyokong langkah kerajaan untuk membawa isu pencerobohan perairan negara oleh nelayan warga asing ke mesyuarat Kabinet.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, satu langkah drastik perlu diambil bagi membanteras pencerobohan hasil laut oleh nelayan dari luar.

“Kita hargai peranan dimainkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dalam mengekang dan membasmi pencerobohan, tetapi, kegiatan itu masih berlaku.

“Salah satu sebab ialah aset-aset yang digunakan mungkin telah 'berusia’ sehingga ada kapal marin di Terengganu yang telah berusia 50 tahun. Ini agak tidak praktikal.

“Kekuatan yang kita ada tidak mencukupi, tidak sesuai dengan keluasan kawasan yang mereka perlu kawal, misalnya, bagi wilayah timur dari Tok Bali ke Kuantan, seluas 200,000km persegi dengan hanya lima buah kapal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perasmian Bengkel Pemurnian Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Negeri Terengganu, di Akademi Perikanan Malaysia, Chendering, di sini hari ini.

Selain itu, Azman berkata, antara isu besar yang perlu diambil tindakan oleh Kabinet ialah menyatukan agensi yang terlibat dalam penguatkuasaan di laut.

“Kerajaan perlu ambil langkah drastik untuk menyatukan agensi terlibat dalam penguatkuasaan di laut. Sekarang ada pelbagai agensi yang bergerak dengan tiada sistem arahan tunggal. Untuk kita manfaatkan aset ini secara optimum,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Terengganu paling terdedah kepada pencerobohan hasil laut disebabkan faktor kedudukan geografi negeri ini.

“Laut di Terengganu terbentang luas dengan jarak sejauh 244km manakala Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) tangkapan nelayan Terengganu seluas 87,000km persegi. Ia satu kedudukan yang begitu luas menyebabkan mudah terdedah kepada pencerobohan.

“Walaupun isu ini telah berpuluh tahun belum selesai, saya rasa kita perlu fikir langkah drastik kerana masalah ini dihadapi oleh nelayan hampir setiap hari,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata isu pencerobohan nelayan asing akan dibawa ke mesyuarat Kabinet termasuk cadangan kemungkinan untuk melibatkan Kementerian Pertahanan bagi menampung kekangan aset yang dialami Maritim.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu pencerobohan nelayan asing dibawa ke Kabinet