Jutaan ringgit transaksi babit SRC International-Gandingan Mentari

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini dirujuk dengan beberapa transaksi perbankan membabitkan SRC International Sdn Bhd dan syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd melibatkan wang berjumlah lebih RM94.7 juta.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Datuk Seri Najib Razak mengemukakan butiran transaksi itu melalui dokumen tambahan yang diserahkan Pengurus Ambank Cawangan Raja Chulan, R Uma Devi kepada Pengurus Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Malaysia (BNM), Azizul Adzani Abdul Ghafar.

Menurut Harvinderjit, berdasarkan butiran transaksi dalam dokumen tambahan itu terdapat transaksi wang berjumlah RM40 juta pada 24 Disember 2014 daripada akaun SRC International Sdn Bhd.

Terdapat juga transaksi membabitkan wang berjumlah RM5 juta berkemungkinan daripada SRC International kepada Gandingan Mentari pada 5 Februari 2015.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes SRC: Dua pasukan dari BNM serbu AmBank pada hari sama

Selain itu Harvinderjit berkata, terdapat juga transaksi sebanyak RM39.7 juta pada 9 Januari 2015 dan satu lagi transaksi sebanyak RM10 juta pada 13 Februari 2015, kedua-duanya juga mungkin daripada SRC International kepada Syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Dokumen tambahan itu diberikan R. Uma Devi kira-kira jam 9.15 malam, selepas lapan dokumen dirampas pada sebelah pagi oleh pasukan siasatan dalam operasi yang dijalankan bersama beberapa pegawai dari BNM.

Saksi kedua yang ketika serbuan merupakan Pegawai Penggeledah bagaimanapun tidak dapat mengingati dokumen dan butiran-butiran yang dirujuk peguam itu ketika disoal balas.

Menurut Azizul Adzani, beliau telah mengisikan butiran dokumen yang dirampas dalam borang geledah BNM pada hari yang sama selepas serbuan.

Jelasnya, beliau telah diberikan dokumen tambahan tersebut oleh Uma Devi meskipun dokumen transaksi itu tidak diminta secara khusus.

Dalam pada itu, menjelaskan tentang bagaimana beliau memperoleh dokumen tambahan itu, Azizul Adzani memaklumkan beliau tidak menerima sebarang arahan khusus untuk mendapatkan dokumen berkaitan transaksi enam akaun bank milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Syarikat SRC International Sdn Bhd dan beberapa syarikat lain.

"Saya hanya meminta kesemua fail dokumen yang disenaraikan oleh pegawai penyiasat, dan telah diberikan lapan fail dokumen manakala pada sebelah malam diberikan dokumen tambahan mengandungi enam akaun secara terperinci," katanya.

Beliau berkata, walaupun operasi selesai dijalankan pada jam 11.00 pagi, beliau berada di bangunan AmBank sehingga kira 11 malam kerana menunggu satu lagi pasukan selesai membuat serbuan di bangunan itu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia