Pahang berjaya tingkat hasil negeri RM19 juta

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14.
Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang berjaya meningkatkan hasil negeri sebanyak RM19 juta, iaitu RM120 juta sehingga Mac tahun ini berbanding RM101 juta pada 2018.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah tersebut dikutip menerusi hasil tanah, hutan, air dan lain lain.

Menurutnya, peningkatan itu amat memberangsangkan jika dibandingkan pada tempoh sama, tahun lalu.

"Saya pernah dicabar menerajui negeri dalam tempoh tiga bulan sahaja, akan bankrap sebab Pahang tiada duit nak bayar gaji. Namun Alhamdulillah dengan kerjasama pegawai kerajaan, exco dan syarikat GLC, kita telah mencapai peningkatan hasil yang ketara iaitu RM19 juta dari hasil tersebut.

"Bagi tahun 2019 saya menetapkan key performance indicator (KPI) bagi kutipan hasil tanah iaitu perlu mencapai sekurang kurangnya 90 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Padang Tengku, Datuk Mustafa Long yang ingin mengetahui inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri selepas 10 bulan menerajui Pahang.

Wan Rosdy berkata, selepas PRU14, kerajaan Pahang telah melaksanakan lapan inisiatif dalam usaha meningkatkan pendapatan negeri.

Menurutnya, ini termasuklah penurunan kuasa kelulusan kebenaran pindah milik dan gadaian tanah dalam usaha memendekkan tempoh urusan.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi pendekatan ini kelulusan Kebenaran Pindah Milik dan Gadaian boleh dilaksana dalam tempoh satu atau atau dua hari saja bagi tujuan kasih sayang yang melibatkan suami isteri, anak-beranak dan waris kadim.

"Manakala bagi pindah milik dan gadaian kepada Melayu ambil masa 10 hari dan dari Melayu kepada bukan Melayu masih tertakluk di bawah bidang kuasa menteri besar," katanya.

Insentif lain adalah saluran aduan rakyat terus kepada menteri besar menerusi aduan.wanrosdy.com; projek Prima Pahang dan Rumah Makmur; penetapan sasaran kutipan hasil tanah 90 peratus; pengenalan saluran cadangan.wanrosdy.com; memperkasa syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC); penubuhan Pahang Corporation dan penubuhan Pahang Go.

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14, di Wisma Sri Pahang, hari ini menyaksikan 10 soalan dibincangkan Ahli Dewan Negeri dengan dipengerusikan Speaker dan bersambung petang nanti.