KPKT tunggu laporan bomba dakwaan jentera tersadai

No Image Caption
A
A
A

TAIPING - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menunggu laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung dakwaan sebanyak 97 buah jentera bomba bernilai RM165 juta tersadai akibat kerosakan komponen dan kegagalan pembekal membekalkan alat ganti jentera berkenaan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, laporan yang akan diserahkan Ketua Pengarah JBPM itu akan diteliti sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Kita sedang menunggu laporan itu daripada pihak bomba dan Ketua Setiausaha KPKT. Jika benar perkara ini berlaku (salah guna kuasa) serta kegagalan vendor atau pembekal membekalkan alat ganti kepada jentera-jentera yang rosak, pihak kerajaan akan membuat laporan kepada pihak berkaitan untuk disiasat dan diambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar, sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berhubung perkara tersebut, selepas melakukan lawatan kerja di Pasar Taiping, di sini hari ini.

Laporan itu turut menyebut jentera bomba berkenaan kini tersadai di Selangor, terutama di Shah Alam, Serdang dan Salak Tinggi.

Zuraida berkata kementerian juga menerima beberapa aduan dari kawasan lain berhubung jentera bomba yang berada dalam kedaan kurang baik serta bermasalah yang perlu diberi perhatian.

Sementara itu, bercakap mengenai Pasar Taiping, beliau berkata KPKT telah meluluskan peruntukan sebanyak RM9 juta untuk menaik taraf dua bangunan pasar berkenaan dan sebagai permulaan RM1 juta diluluskan bagi membaiki pulih termasuk mengekalkan struktur warisannya.

Katanya, dua bangunan pasar yang mempunyai 212 lot perniagaan di kawasan seluas 1.13 ekar (0.46 hektar) itu dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Artikel Berkaitan:

"Pembinaan pasar ini akan dibuat secara berperingkat dan peruntukan akan dikeluarkan mengikut kemajuan kerja tanpa menjejaskan perniagaan di sini. Apa yang menarik peniaga di sini adalah peniaga tulen dan tidak seperti kebanyakan pasar yang sering bertukar tangan," katanya.

Beliau berkata pembinaan dua bangunan pasar moden itu sejajar dengan pembangunan pesat bandar ini yang terkenal dari segi pelancongan.

Pasar Taiping merupakan pasar tertua, berusia lebih 100 tahun yang dibina pada 1880, terbahagi kepada dua bangunan di tengah bandar Taiping yang terdiri daripada pasar basar, pasar kering dan gerai menjual buah-buahan. - Bernama