Hishammuddin dalang kepincangan Umno Sabah?

Hishammuddin Hussein
Hishammuddin Hussein
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dirinya sebagai dalang kepincangan dalam Umno Sabah susulan hampir separuh pimpinan negeri itu keluar parti, hari ini.

Malah Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, segala tuduhan melibatkan dirinya selepas Umno tewas dalam PRU14 lalu adalah tidak berasas sama sekali.

“Terdapat begitu banyak tuduhan terhadap saya mengenai Umno dalam enam bulan yang lepas, semuanya tidak benar.

“Perkembangan terkini di Sabah, saya dikaitkan sekali lagi. Tegas saya katakan bahawa saya tidak mempunyai apa-apa kaitan terhadap keputusan tersebut,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini mendakwa ada golongan ‘bangsawan’ yang menjadi pendorong hampir kesemua pemimpin utama Umno Sabah bertindak keluar parti.

Dakwaan Khairy itu dibuat bagi menjawab soalan pengikutnya di Twitter yang bertanyakan mengapa beliau tidak berusaha menghalang tindakan Ahli Parlimen keluar Umno.‬

Ahli Parlimen Rembau itu tidak menamakan siapa individu tersebut.

Bagaimanapun, sebuah portal berita yang memetik sumber mengatakan individu yang dimaksudkan oleh Khary itu adalah Hishammuddin.

Artikel Berkaitan:

Di Kota Kinabalu hari ini, 13 ahli Umno dan pemimpin kanan di Sabah bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas kerana tidak yakin dengan hala tuju parti itu di negeri ini.

Adun Sulaman, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor yang merupakan Pengerusi Umno Sabah sebelum ini dalam sidang media berkata, kepimpinan Umno Pusat tidak mempunyai arah politik yang jelas menyebabkan mereka bersepakat mengambil keputusan drastik ini.

Tindakan keluar parti yang berkuat kuasa hari ini melibatkan lima anggota Parlimen, sembilan Adun dan dua senator serta sembilan Adun.

Lima Ahli Parlimen itu ialah Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat).

Selain Hajiji, lapan Adun lagi adalah Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jameh(Tempasuk), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas).

Manakala dua senator Umno yang keluar parti ialah Datuk Ghani Yassin dan Datuk John Ambrose.