'Tiada daerah termiskin, bukan tiada orang miskin'

Ahmad Amzad Hashim
A
A

KUALA TERENGGGANU – Kenyataan bahawa tiada satu pun daerah di Terengganu tersenarai dalam kategori termiskin di negara ini bukan bermaksud tiada orang miskin di Terengganu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, kenyataan dikeluarkan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa ketika berucap merasmikan Program Bersama Pemimpin sempena Kursus Induksi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Terengganu, semalam memberikan gambaran sebaliknya.

“Apabila beliau mengumumkan tiada daerah yang miskin di Terengganu, saya tidak tahu sama ada nak rasa gembira atau sedih sebab setiap hari kita jumpa orang miskin.

“Mungkin apa yang dimaksudkan ialah daerah, bukan isi rumah yang berada para paras termiskin.

“Memang betul setiap daerah di Terengganu memiliki tanah yang subur, berpotensi dengan segala sumber asli. Kita bukan seperti di sesetengah negara yang hanya ada padang pasir tandus dan tidak dapat diusahakan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau berharap statistik itu tidak mendorong kesimpulan kerajaan persekutuan bahawa fokus bantuan tidak lagi perlu diberi kepada Terengganu atas alasan ‘tiada daerah miskin’ di negeri ini.

“Sebenarnya, isu besar yang sering menjadi fokus perbincangan adalah membasmi kemiskinan rakyat seperti masalah pelajar miskin dan golongan gelandangan,” katanya.

Terdahulu, R. Sivarasa berkata, kementerian telah mengenal pasti 28 daerah miskin di negara ini yang perlu diberi tumpuan dalam pembangunan sosioekonomi, antaranya Tumpat di Kelantan, Yan di Kedah selain beberapa daerah di Sabah dan Sarawak.

Katanya, Terengganu bertuah kerana tidak tersenarai dalam beberapa daerah yang tercicir yang merupakan petanda baik dari segi pembangunan di mana manfaat telah diterima oleh setiap lapisan masyarakat berbanding dengan kawasan lain di Malaysia.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia