KKMM lancar pelan strategik bagi tempoh lima tahun

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (kanan) menyerahkan buku Pelan Strategik Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) 2019-2023 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nurini Kassim (kiri) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 KKMM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Turut kelihatan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Shakib Ahmad Shakir (tengah). - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (kanan) menyerahkan buku Pelan Strategik Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) 2019-2023 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nurini Kassim (kiri) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 KKMM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Turut kelihatan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Shakib Ahmad Shakir (tengah). - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelan Strategik Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) 2019-2023 yang dilancarkan hari ini menggariskan enam teras yang akan menjadi rangka kerja kementerian serta jabatan, agensi, dan bahagian di bawahnya bagi tempoh lima tahun.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pelan strategik itu adalah imperatif bagi memastikan gerak kerja kementerian dilaksanakan mengikut perancangan berasaskan visi, misi dan objektif kementerian serta dasar-dasar terkini kerajaan.

Berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KKMM 2018 di sini, Gobind berkata, memperluaskan penyebaran maklumat kenegaraan untuk meningkatkan jati diri dan semangat patriotik rakyat merupakan antara enam teras yang digariskan di bawah pelan strategik itu.

Antara lain adalah memantapkan infrastruktur telekomunikasi yang terpercaya, berpatutan, berkualiti dan kebolehcapaian; memacu ekonomi digital dan ICT ke arah negara maju; memperkukuh kawal selia ekosistem komunikasi dan multimedia yang terpercaya dan stabil; memperkasa perkhidmatan penyiaran yang berkualiti dan terkini; dan memangkin industri kandungan kreatif yang berdaya saing dan bertaraf global.

Mengimbau kejayaan KKMM yang telah dicapai dan turut dirasai oleh rakyat sejak 9 Mei lalu, Gobind berkata pihaknya telah berjaya meningkatkan perkhidmatan jalur lebar dengan harga lebih murah atau yang selalu didengar, ‘double the speed, half the price’.

Pada awal tahun ini, sejumlah 1,100 kediaman di Jasin, Melaka mendapat akses internet berkelajuan tinggi selepas kejayaan projek rintis bagi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), katanya. Satu program perintis, Terragraph pula telah dilancarkan di George Town, Pulau Pinang untuk menghasilkan sambungan jalur lebar yang berkelajuan tinggi pada bulan Februari lalu, katanya.

Dalam pada itu, Gobind memaklumkan melalui RTM, siaran sukan berprestij juga berjaya disiarkan seperti Asian Basketball League (ABL) dan Cub Prix.

Katanya Kejohanan All-England, Malaysia Axiata Open dan BWF World Championship akan disiarkan manakala peminat bola sepak akan dapat menyaksikan pertandingan Copa America juga akan disiarkan melalui RTM tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut Gobind, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melihatkan kejayaan filem cereka tempatan pada tahun 2018 yang meraih kutipan sebanyak RM170.4 juta bagi 58 buah filem.

“Di peringkat global, sebanyak 37 filem yang mendapat dana dan insentif kerajaan telah menembusi pelbagai festival filem antarabangsa dengan meraih 15 buah anugerah. “Beberapa filem seperti One Two Jaga, Pulang, Hantu Kak Limah dan Paskal yang turut ditayangkan di platform antarabangsa seperti Netflix,” katanya.

Sementara itu, Gobind turut menyeru semua warga kementerian agar dapat memberikan sepenuh komitmen terhadap Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) bagi memastikan kejayaan dan keberkesanan pelaksanaannya.

“Saya berharap warga KKMM dapat melaksanakan tugas sebagai penjawat awam untuk sentiasa mempamerkan sikap tegas, berani, adil dan sanggup mengambil risiko bagi menentukan integriti dan tadbir urus (governans) tidak terjejas,” katanya.

Pada majlis itu, Gobind turut menyampaikan APC KKMM 2018 kepada 612 orang termasuk 35 penerima daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KKMM, Shakib Ahmad Shakir, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nurini Kassim dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab. - Bernama