Lelaki bakar rumah kekasih direman

Lelaki direman bagi membantu siasatan bakar rumah di Taman Desa Aman semalam.
Lelaki direman bagi membantu siasatan bakar rumah di Taman Desa Aman semalam.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lelaki yang membakar rumah kekasih di Taman Desa Aman semalam ditahan reman bagi membantu siasatan.

Reman dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Seksyen Sungai Petani, Balkhis Abdul Halim selama empat hari bermula hari ini sehingga 19 April 2019.

Lelaki berusia 24 tahun itu disyaki melakukan khianat membakar rumah kekasihnya, yang juga berstatus isteri orang.

Turut direman bagi membantu siasatan, wanita terbabit yang berusia 33 tahun, juga ibu kepada empat anak dan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun yang merupakan rakan suspek.

Turut ditahan, wanita dipercayai kekasih suspek.
Turut ditahan, wanita dipercayai kekasih suspek.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah dalam kenyataan sebelum ini berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati, suspek dan wanita itu ialah penagih dadah, dipercayai menjalinkan hubungan sulit.

Suspek dipercayai bengang selepas suami kepada wanita itu membawa keluarganya pulang ke kampung halaman di Baling bagi mengelakkan pasangan itu berjumpa selain takut dengan ugutan bunuh suspek.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, dua buah rumah terbakar di Taman Desa Aman akibat perbuatan khianat, kira-kira jam 5.30 pagi semalam.

Artikel Berkaitan:

Hasil siasatan di lokasi kejadian, polis mengesahkan penemuan satu besi pengumpil di halaman rumah dan satu penutup botol berbau petrol.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 435 Kanun Keseksaan melakukan khianat dengan api dan Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat wanita bersuami.

ARTIKEL BERKAITAN Lelaki bakar rumah kekasih, bengang hubungan dihalang