Ecuador alami 40 juta serangan siber ekoran penahanan Assange

Pengasas WikiLeaks Julian Assange ditahan pada 11 April lalu ekoran penarikan balik suaka perlindungan yang diberikan Ecuador. - Foto AFP
A
A

QUITO - ECUADOR.Kerajaan Ecuador dilaporkan menerima 40 juta serangan siber ke atas laman sesawang institusi awam negara itu sejak penahanan pengasas WikiLeaks, Julian Assange di London.

Timbalan Menteri Informasi dan Komunikasi Patricio Real berkata, serangan siber yang bermula Khamis lalu sebahagian besarnya berasal dari Amerika Syarikat, Brazil, Belanda, Jerman, Romania, Perancis, Austria, United Kingdom serta negara Amerika Selatan itu sendiri.

Sementara itu, Javier Jara daripada jabatan elektronik kementerian telekomunikasi berkata, Ecuador mengalami serangan siber yang menyekat akses kepada internet ekoran ancaman daripada kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Assange.

Antara kementerian paling teruk terjejas ialah Kementerian Luar Negara, bank pusat, pejabat presiden, jabatan hasil dalam negeri dan beberapa kementerian lain serta universiti.

Namun, tiada sebarang laporan kehilangan data diterima daripada institusi terbabit.

Assange, 47, yang juga seorang warga Australia ditahan dan diheret keluar dari kedutaan Ecuador di London pada 11 April lalu selepas Presiden Lenin Moreno menarik balik perlindungan suaka yang diberikan kepadanya.

Selain itu, Ecuador turut melucutkan kewarganegaraan yang diberikan kepada Assange pada 2017 di bawah pentadbiran Rafael Correa.

Terdahulu, Assange didapati bersalah oleh mahkamah Britain atas tuduhan melanggar syarat ikat jamin pada 2012 dan berdepan hukuman penjara setahun.

Amerika Syarikat (AS) kini menuntut ekstradisi terhadap Assange berikutan tuduhan membocorkan maklumat sulit kerajaan AS dengan bekas penganalisis perisikan, Chelsea Manning pada 2010. - AFP