Pendengaran awam RCI Wang Kelian bermula esok

Anggota forensik Polis DiRaja Malaysia memeriksa jenazah yang ditemui di kubur yang tidak ditanda berhampiran Wang Kelian di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.- Foto fail AP
Anggota forensik Polis DiRaja Malaysia memeriksa jenazah yang ditemui di kubur yang tidak ditanda berhampiran Wang Kelian di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.- Foto fail AP
A
A
A

PUTRAJAYA - Sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis akan diadakan pada 17, 18 dan 22 April.

Sesi pendengaran awam itu akan diadakan di Dewan Gemilang, Aras G, Blok D1, Kompleks D, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, demikian menurut kenyataan KDN hari ini.

Masa adalah dari 9.30 pagi hingga 5 petang. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria mengetuai RCI itu yang dianggotai tujuh anggota.

ARTIKEL BERKAITAN: Kubur Wang Kelian: Siasatan RCI dijangka 6 bulan

Timbalan Pengerusi RCI itu ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, laporan siasatan RCI itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

KDN berkata, orang awam yang ingin menghadiri sesi pendengaran awam tersebut perlu mendapatkan pas keselamatan khas bermula pukul 8.30 pagi di pondok pengawal Kompleks D dan mereka dinasihatkan mengikuti segala peraturan yang digariskan sepanjang tempoh pendengaran awam berlangsung.

"Sesi pendengaran awam seterusnya akan dijalankan pada tarikh tertakluk kepada perbincangan ahli-ahli RCI,” kata kementerian itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut KDN, sesi pendengaran awam akan dijalankan secara tertutup, tanpa kehadiran orang awam, sekiranya melibatkan saksi-saksi bertaraf keselamatan.

Pada Mei 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia -Thailand. - Berrnama