Anwar perlu berani terima kritikan - Wan Saiful


Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berani dan bersedia menjelaskan persoalan yang ditimbulkan, bukannya mengugut tindakan guaman bagi melenyapkan semua kritikan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan guaman yang dilakukan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukan beliau tidak boleh menerima kritikan.

"Kenapa sejak menjadi Perdana Menteri, Anwar sangat nipis telinga dan tak boleh terima kritikan?

"Adakah Anwar mahu menjadi diktator yang tidak boleh dipersoal? ujarnya dalam hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Sinar Harian melaporkan Anwar memfailkan saman terhadap Muhyiddin pada Selasa berhubung kenyataan yang mendakwa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menerima bayaran RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa kenyataan tersebut dibuat oleh Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ketika ceramah 'Grand Finale PN Padang Serai' di Taman Selasih, Kulim pada 5 Disember lalu.

Menerusi dokumen yang diperoleh, Anwar berkata, kenyataan itu telah menyinggung perasaannya, dibuat ketika ceramah bagi menyokong calon PN, Datuk Azman Nasruddin.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut mencabar Anwar untuk mengambil tindakan guaman kepada pihak lain sepertimana yang dilakukan terhadap Muhyiddin.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap Anwar akan bertegas mengambil tindakan guaman serupa kepada yang lain. Contohnya, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa telah menghina beliau sebagai 'homoseksual'.

"Dengan berbuat demikian, barulah Anwar dilihat serius mempertahankan nama baiknya dan institusi Perdana Menteri, bukan berterusan mempergunakan sistem perundangan secara selektif untuk bermain politik atau mengugut pengkritik.

"Saya juga ambil perhatian bahawa Anwar telah mengugut tindakan sama terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim," jelasnya.