48 jam hanyut di laut

Bateri bot fiber dinaiki mangsa lemah menyebabkan mereka hanyut hampir 48 jam di laut.
Bateri bot fiber dinaiki mangsa lemah menyebabkan mereka hanyut hampir 48 jam di laut.
A
A
A

PELABUHAN KLANG – Empat lelaki termasuk dua beradik yang hilang ketika merawai ikan di 0.3 batu nautika dari selatan Tanjung Mahang, Pelabuhan Barat, di sini pulang dalam keadaan selamat selepas hampir 48 jam hanyut di laut.

Salah seorang mangsa, Nazaruddin Isa, 48, berkata, dia bersama tiga lagi rakan, Mohd Faisol Romle, 38; Muhammad Firdaus Romle, 25, serta Mohd Amirul Adli Khairi, 25, turun ke laut Ahad lalu menggunakan bot fiber milik rakan mereka.

Katanya, ketika kejadian, mereka bersiap-siap mahu pulang selepas selesai merawai ikan.

“Tapi enjin bot tak hidup walaupun banyak kali kami cuba hidupkan, mungkin baterinya lemah.

Anggota bomba dan penyelamat yang terlibat dalam operasi pencarian semalam.
Anggota bomba dan penyelamat yang terlibat dalam operasi pencarian semalam.

“Masa itu bot fiber kami berada di laluan kapal. Disebabkan risau dilanggar kapal besar, kami terpaksa tarik sauh dan biarkan bot hanyut, jauh dari laluan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Katanya, bot mereka hanyut sehingga ke rumah api Tanjung Rhu, berhampiran boya merah putih di Pelabuhan Barat.

“Mungkin koordinat GPS yang diterima pasukan bantuan silap menyebabkan mereka tak dapat jumpa kami.

Artikel Berkaitan:

“Disebabkan cuaca mendung dan keadaan makin gelap, kami ambil keputusan berdayung ke pantai. Tapi angin dan ombak terlalu kuat sampai sauh bot tak kuat, bot kami hanyut lebih jauh.

“Kami hanya mampu berdoa supaya urusan dipermudahkan,” katanya.

Tambahnya, dia dan rakan-rakan bersyukur apabila diselamatkan nelayan.

“Bila nampak ada bot nelayan, kami kibar-kibarkan baju. Mujur mereka nampak dan bawa kami ke Pulau Ketam untuk gantikan bateri baru.

Empat pemacing (duduk) yang hilang sejak semalam selepas bot dinaiki mengalami kerosakan pulang dengan selamat.
Empat pemacing (duduk) yang hilang sejak semalam selepas bot dinaiki mengalami kerosakan pulang dengan selamat.

“Alhamdulillah, kami selamat tiba di Jeti Sungai Kembung malam tadi. Terima kasih saya ucapkan kepada semua agensi terlibat dalam operasi pencarian,” katanya.

Nazarudin yang menetap di Bangi berkata, walaupun sudah dua kali berdepan situasi sama, namun dia tidak pernah serik.

“Ini kejadian kali kedua berlaku dan dengan rakan-rakan yang sama. Dulu bot kami pernah hanyut sampai ke sempadan Indonesia.

“Memang tak serik (turun ke laut) cuma lepas ni kena sediakan peralatan macam bateri dan alat-alat lain sebagai langkah berjaga-jaga. Kita tak mahu kejadian sama berulang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, kesemua mangsa tiba di Jeti Sungai Kembong, kira-kira jam 8 malam tadi selepas ditemui sebuah bot nelayan Pulau Ketam berhampiran Permatang Sedepa.

“Mereka keluar ke laut sejak Ahad dan hanyut sampai ke Permatang Sedepa disebabkan bateri bot lemah sebelum ditemui bot nelayan dan ditunda ke jeti Pulau Ketam.

“Salah seorang mangsa, Mohd Amirul beritahu mereka dah dapatkan bateri baru sebelum diiringi pulang ke Jeti Sungai Kembong, Pulau Indah, jam 8.30 malam tadi.

“Operasi melibatkan hampir 50 pegawai dan anggota serta aset-aset terdiri daripada aset Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta pasukan Polis Marin telah ditamatkan,” katanya.