Kisah penyu bertelur atas jalan raya

 Gambar seekor penyu bertelur di atas jalan raya tular di media sosial.
Gambar seekor penyu bertelur di atas jalan raya tular di media sosial.
A
A
A

GAMBAR seekor penyu bertelur di atas jalan raya tular di media sosial, baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku apabila ‘sarangnya’ kini dalam pembinaan menjadi sebuah lapangan terbang di salah satu daerah di Maldives.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang pemilik Twitter, Adam Nasym dan mendapat liputan meluas.

Gambar penyu bersama tiga biji telur menimbulkan perdebatan tentang kos pembangunan infrastruktur alam sekitar di Maldives.

Kebanyakan penyu kembali ke pantai yang sama di mana ia bertelur sebelum ini.

Seekor penyu betina boleh bertelur di antara 4- 6 kali di sepanjang musim bertelur.

Biasanya selang masa di antara satu masa peneluran dengan yang lain ialah 8–15 hari bergantung kepada jenis penyu.

Kemudian selepas 2-8 tahun, penyu-penyu tadi akan berhijrah semula untuk bertelur di pantai yang sama tempat ia bertelur.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, Pulau Maafaru di utara Noonu Atoll adalah tapak 'bersarang' untuk spesies terancam.

Walaupun pembinaan lapangan terbang tahun lepas, penyu terus datang ke darat untuk 'bersarang', menurut pihak Majlis Maafaru.

Penyu dalam foto itu dilaporkan sihat dan selamat kembali ke laut dibantu oleh penduduk tempatan pada Selasa lalu.

Bagaimanapun media tempatan melaporkan, penyu itu ditemui mati pada pagi Ahad.

Seorang doktor haiwan, Dr Claire Lomas memberitahu Maldives Independent, bahawa kemungkinan penyu dalam foto itu terganggu oleh perubahan di kawasan tersebut.

"Sukar untuk saya katakan dari gambar mengapa dia meletakkan telur di sana tetapi penyu telah diketahui membuang telur mereka jika mereka terganggu semasa proses bersarang.

"Ia adalah gambaran yang kuat dan saya fikir ia menyoroti betapa pentingnya pantai untuk penyu laut dan ini harus dianggap penting untuk memelihara populasi penyu di Maldives. Pembangunan manusia hampir selalu memberi kesan kepada alam sekitar dan saya fikir penting untuk menjadi perhatian dan mengambil langkah untuk meminimumkan gangguan dan melindungi kawasan yang penting untuk spesies seperti penyu laut, " katanya.

Lapangan terbang Maafaru dijangka siap Ogos depan. Kawasan pantai itu bakal menjadi kawasan perhotelan dan resort bagi tumpuan pelancongan.

Penyu dilindungi di Maldives pada tahun 1994. Lima spesies ditemui di negara itu.