Wanita mati dalam bilik sewa dipercayai dibunuh suami

Mayat kedua-dua pasangan suami isteri dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Mayat kedua-dua pasangan suami isteri dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Wanita yang dijumpai mati dalam bilik sewa di sebuah rumah di Jalan Pokok Machang di sini, dipercayai dibunuh terlebih dahulu oleh suaminya.

Laporan bedah siasat yang dijalankan pakar patologi Hospital Seberang Jaya mendapati, wanita berusia 27 tahun itu telah dibunuh dengan cara dilemaskan secara sengaja menggunakan bantal atau tuala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita itu dipercayai dibunuh terlebih dahulu sebelum suaminya yang berusia 31 tahun itu ditemui dalam keadaan tergantung dengan kain sari pada kayu kekuda rumah terbabit.

Menurutnya, wanita itu disyaki telah meninggal dunia di antara 24 hingga 36 jam lalu sebelum mayatnya ditemui pemilik rumah yang disewa mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri ditemui mati dalam bilik sewa

"Berdasarkan laporan bedah siasat, kemungkinan besar wanita itu dilemaskan menggunakan objek lembut seperti bantal atau tuala. Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil serta berselimut sehingga ke paras dada.

"Mukanya telah bengkak serta mulutnya berdarah dan ditutup tuala kecil berwarna putih. Sementara itu, mayat suaminya ditemui dalam keadaan terjerut dan tergantung dengan kain sari yang dililit pada kayu kekuda dalam bilik berkenaan.

"Bagaimanapun, bedah siasat ke atas mayat suaminya akan dijalankan pada hari ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, polis tidak menemui sebarang objek atau senjata yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.

"Kita hanya menjumpai bantal dan tuala dipercayai digunakan suaminya untuk membunuh mangsa. Hasil keterangan dari adik ipar mangsa yang turut menyewa di rumah berkenaan, kali terakhir dia melihat mangsa pada Sabtu lalu, pada jam 9.30 malam.

"Dia memberitahu, kali terakhir dia melihat abangnya pada malam Ahad, kira-kira jam 9 malam. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Bagaimanapun, motif kejadian masih disiasat," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menyalurkannya kepada polis untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian semalam, sepasang suami isteri ditemui mati dalam bilik sewa mereka oleh pemilik rumah tersebut kira-kira jam 9.20 pagi.

Pasangan itu berasal dari Perak dan telah berkahwin sejak lima tahun lalu namun tidak mempunyai anak.

Mereka telah menyewa bilik di rumah tersebut sejak sebulan lalu.